Gajah betina mati dirempuh kereta, treler

Gajah betina mati dirempuh kereta, treler

Mersing: Seekor Gajah betina mati dilanggar kenderaan dalam kemalangan di Batu Tujuh Jalan Kota Tinggi-Mersing di sini, malam tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, pada 12.15 malam tadi pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu sebelum satu pasukan digerakkan ke lokasi.

Katanya, siasatan lanjut di lokasi menemukan bangkai gajah betina dewasa di tepi jalan disyaki dilanggar kenderaan.

“Menurut saksi, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam, apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) dari arah Kota Tinggi menghala Mersing melanggar gajah itu.

“Selepas itu beberapa kenderaan lain termasuk treler yang tidak sempat mengelak (melanggar) gajah itu di atas jalan raya. Gajah itu mati di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pemandu dan penumpang yang terbabit dalam kemalangan itu mengalami kecederaan ringan.

Katanya, pihaknya sudah mengambil data morfologi asas sebelum bangkai gajah ditanam pagi ini.

“Sehingga kini kita masih lagi berada di lokasi kejadian untuk memantau saki baki kumpulan gajah yang masih lagi berada di sekitar kawasan kemalangan sehingga bangkai tersebut ditanam.

“Gajah itu merupakan sebahagian dari Kumpulan Gajah Panti dianggarkan berjumlah 30 hingga 40 ekor. Jalan Kota Tinggi-Mersing merupakan hotspot laluan lintasan gajah terutamanya di Batu 4 hingga Batu 14.

“Sebanyak 20 papan tanda amaran lintasan hidupan liar dipasang di sepanjang jalan untuk memberi peringatan kepada pengguna jalan raya untuk berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan terutamanya pada sebelah malam atau awal pagi.

“Keadaan jalan yang gelap dan tidak dipasang lampu jalan juga menyebabkan keadaan agak berbahaya apabila melalui kawasan tersebut. Pihak jabatan sedang berusaha berunding dengan pihak berwajib bagi memasang lampu jalan di kawasan berkenaan,” katanya.

Scroll to Top