Gajah jantan 'ganggu' tanaman penduduk ditangkap

Gajah jantan 'ganggu' tanaman penduduk ditangkap

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Seekor gajah liar jantan yang ‘mengganggu’ tanaman penduduk di Lojing, di sini, akhirnya ditangkap pada Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima aduan pada awal bulan lalu mengenai gajah liar terbabit yang berkeliaran dan memusnahkan tanaman kebun di Lojing.

Katanya, bertindak atas aduan terbabit, pihak Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan menjalankan pemantauan dan seterusnya berjaya menangkap seekor gajah liar jantan pada Jumaat lalu di kawasan kebun berhampiran Hentian Eco Rehat dan Rawat (R&R) Lojing, Gua Musang.

“Tangkapan gajah liar ini sedikit sebanyak melegakan penduduk di kawasan itu seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan dialami penduduk akibat kemusnahan tanaman dan harta benda akibat konflik gajah liar berkenaan.

“Operasi pemindahan dan pelepasan Gajah liar ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

“Operasi pemindahan ini turut membabitkan kakitangan Perhilitan Kelantan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad Hafid berkata, tindakan bagi mengurangkan konflik di kawasan berkenaan sudah dijalankan dengan memberi nasihat kepada penduduk khususnya pekebun supaya mengambil langkah mitigasi.

Beliau berkata, antaranya adalah memasang lampu LED biru di laluan yang dikenal pasti sebagai laluan masuk gajah ke kebun.

Selain itu katanya, penduduk dinasihatkan membersihkan kebun dan tidak dibiarkan ditumbuhi semak samun dan membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di sekeliling kawasan kebun.

“Tangkapan dan pemindahan gajah liar yang mengganggu bukanlah penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan kebun berkenaan adalah berhampiran kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Lojing serta HSK Sungai Brooke.

“Dipercayai, populasi gajah liar yang berada di HSK ini dianggarkan lebih 30 ekor,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top