Gajah Perang 'ajar' Harimau Muda

Gajah Perang 'ajar' Harimau Muda

sukan@hmetro.com.my

Phnom Penh: Impian skuad bawah 22 (B-22) tahun negara untuk meneruskan rentak kemenangan dalam acara bola sepak Sukan Sea Kemboja 2023 lebur apabila tewas 0-2 kepada Thailand di Stadium Prince, di sini, sebentar tadi.

Beraksi dalam cuaca panas dengan suhu mencecah 39 darjah Celcius pada awal permainan, skuad kendalian E Elavarasan berdepan asakan bertali arus daripada Thailand yang turun selaku pasukan pilihan.

Banyak percubaan tepat berjaya dilakukan skuad Gajah Perang yang menyaksikan penjaga gol negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dipaksa bekerja keras sepanjang babak pertama.

Ketika skuad negara menggandakan asakan untuk mencari gol pendahuluan selepas bersambung babak kedua, sebaliknya serangan balas daripada Thailand membuahkan hasil apabila Anan Yodsangwal berjaya memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke-73.

Kealpaan benteng pertahanan negara sekali lagi dihukum pada minit ke-84 dengan Yotsakon Burapha meledak gol kedua Thailand, sekali gus mengesahkan tiga mata buat pasukannya.

Kekalahan itu menyaksikan ‘Harimau Muda’ jatuh ke tangga ketiga Kumpulan B selepas mengumpul tiga mata hasil kemenangan besar 5-1 ke atas Laos pada aksi pertama, Rabu lalu.

Thailand yang juga pemenang pingat emas 16 kali di pentas Sukan Sea pula berkongsi enam mata bersama juara bertahan, Vietnam untuk menghuni dua tangga teratas kumpulan.

Seterusnya, anak buah Elavarasan akan menempuhi satu lagi aksi getir berdepan Vietnam, Isnin ini sebelum menutup saingan kumpulan menentang Singapura, tiga hari kemudian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top