“Gajet Jadi Punca Remaja Hilang Arah, Terdedah Budaya Negatif” – Azhar Sulaiman

“Gajet Jadi Punca Remaja Hilang Arah, Terdedah Budaya Negatif” – Azhar Sulaiman

Pelakon, Azhar Sulaiman tampil memberi pandangan berhubung insiden tragis membabitkan seorang pelajar perempuan maut dipercayai ditikam rakan sekolah lelaki berusia 14 tahun baru-baru ini.

Menurut Azhar, kejadian itu bukan semata-mata berpunca daripada kelemahan sistem pendidikan, sebaliknya akibat pengaruh gajet dan kecanggihan teknologi yang kini menjadi ‘racun halus’ dalam kehidupan generasi muda.

Menerusi hantaran di Facebook, Azhar menegaskan, akses tanpa kawalan terhadap internet dan media sosial mendorong remaja mudah terdedah kepada budaya songsang serta kandungan tidak bermoral.

“Macam-macam masalah berlaku di sekolah, tapi saya rasa tak patut salahkan Menteri Pendidikan, pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri.

“Semua dah buat yang terbaik. Masalah sebenar ialah gajet, budak-budak terdedah kepada budaya tak elok,” katanya.

Aktor drama rantaian Budak Tebing 3 itu menambah, pendedahan awal terhadap bahan lucah dan kandungan berbahaya memberi kesan besar terhadap emosi dan pemikiran anak muda.

“Kalau mereka guna telefon yang tak canggih, mereka takkan boleh akses bahan sebegitu. Budak-budak sekarang terlalu bijak, tapi itulah bahayanya kalau tiada kawalan,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Azhar menyifatkan desakan agar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, meletakkan jawatan susulan tragedi itu sebagai tidak wajar dan tidak berasas.

“Isu ini tak patut dijadikan alasan untuk menyalahkan pihak atasan. Kita kena tengok akar masalah sebenar iaitu ketagihan terhadap gajet dan pengaruh dunia digital,” tegasnya.

Difahamkan, dalam kejadian berkenaan, suspek lelaki tingkatan dua membawa sebilah pisau sebelum menyerang mangsa berusia 16 tahun.

Polis kini menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian bagi mengenal pasti motif sebenar insiden tersebut.

Scroll to Top