Gaji lumayan, tetapi orang tempatan tak minat kerja ladang sawit, kata persatuan

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Hanya kira-kira 15% daripada tenaga kerja dalam sektor perladangan terdiri daripada pekerja tempatan, manakala selebihnya pekerja asing, menurut MPOA.

PETALING JAYA: Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menggesa kerajaan mempertimbangkan pengambilan semula pekerja asing kerana warga tempatan tidak berminat dan tidak kekal bekerja di sektor perladangan, walaupun ditawarkan gaji lumayan.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOA Mohd Nageeb Abdul Wahab berkata, banyak promosi dilakukan untuk menarik pekerja tempatan menyertai sektor perladangan, tetapi tidak banyak kejayaan dikecapi.

Kata beliau, hanya kira-kira 15% daripada tenaga kerja dalam sektor perladangan terdiri daripada pekerja tempatan, manakala selebihnya pekerja asing.

“Ada sedikit kejayaan, tetapi tidak mencukupi untuk menggantikan pekerja asing, terutama dalam kerja penuaian,” kata beliau kepada FMT.

“Kalau boleh, buat sementara ini, bagi kelonggaran untuk ambil pekerja asing.

“Walaupun harga (sawit) sangat baik, tetapi (peladang) tidak dapat memanfaatkan harga itu, kerana pengeluaran berkurangan sekitar 20% disebabkan kekurangan tenaga kerja.”

Awal bulan lalu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali dilaporkan berkata, kerajaan akan mempertimbangkan pengambilan pekerja asing bagi sektor perladangan dan komoditi, sekiranya wabak Covid-19 terkawal.

Kata beliau, kerajaan masih mengutamakan tenaga kerja sedia ada bagi dua sektor itu, malah menyalurkan peruntukan bagi menggantikan tenaga kerja asing dengan warga tempatan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia Shamsuddin Bardan mengakui usaha menarik golongan belia bekerja dalam sektor perladangan belum berjaya.

Beliau difahamkan terdapat lebih 40,000 kekosongan dalam sektor perladangan.

“Ini sesuatu amat membimbangkan dan kita juga berusaha menggalakkan pekerja tempatan, terutama pemuda, beralih ke sektor perladangan, tetapi respons itu tak baik,” kata beliau.

Kata beliau, pasar borong turut berdepan masalah kekurangan pekerja tempatan, tetapi ia tidak memerlukan pekerja asing.

Sebaliknya, beliau menyarankan pihak berkuasa memodenkan operasi pasar borong melalui penggunaan teknologi canggih dan mengubah suainya menjadi tempat kerja lebih menarik, bersih serta tersusun.