Kuala Lumpur: Harga rumah terlalu tinggi menyebabkan ramai individu yang berkeluarga mahupun bujang sukar mendapatkan kediaman sendiri dan memilih menyewa atau tinggal dengan keluarga.
Seorang pesara, Azahar Wahid, 58, berkata, dia terpaksa menyewa rumah di Petaling Jaya, Selangor, dengan bayaran bulanan RM1,200 sebulan kerana harga aset itu terlalu mahal di kawasan berkenaan.
“Saya sudah menyewa rumah bersama empat anak sejak 12 tahun dulu kerana tidak mampu membeli rumah di kawasan ini (Petaling Jaya) kerana harga rumah terlalu mahal.
“Bagi individu berkeluarga seperti saya, pastinya kami mahukan rumah mampu milik yang selesa dengan memiliki tiga bilik untuk anak-anak dengan anggaran bayaran bulanan di bawah RM1,300,” katanya.
Azahar berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai pembinaan sejuta rumah mampu milik bermula tahun depan memberi harapan kepada mereka yang tidak mampu memiliki rumah sendiri.
Bagi Farah Datul Ikhma Hanafi, 32, pula, dia mempunyai hasrat mempunyai rumah sendiri, namun ia terhalang kerana harga terlalu mahal.
“Anggaran pendapatan RM1,500 sebulan dengan bekerja sendiri, pastinya tidak mencukupi untuk bayaran bulanan rumah melebihi RM1,000 sebulan,” katanya yang kini masih menetap bersama ibu bapanya di Jasin, Melaka.
Sementara itu, jurugambar, V Moganraj, 34, berkata, dia pernah memohon pembiayaan bank untuk membeli rumah pada 2023, namun tidak meneruskan hasrat itu kerana komitmen bulanan yang tinggi.
“Ketika ini, saya masih menyewa di sebuah unit kondominium di Cheras dengan bayaran bulanan RM1,200. Meskipun masih menetap di rumah sewa, saya masih menyimpan hasrat untuk memiliki rumah sendiri.
“Saya harap dengan adanya inisiatif rumah mampu milik ini, ia akan memberi peluang kepada mereka yang tiada rumah termasuk individu bujang memiliki rumah meskipun memasuki usia 40-an,” katanya.
Kelmarin, Harian Metro melaporkan sejuta unit rumah mampu milik akan dibina Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri serta pemaju swasta dari 2026 hingga 2035.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Aspirasi Ekonomi Madani di Dewan Rakyat.
© New Straits Times Press (M) Bhd