‘Gaji sudah bayar, saya nak menang’- Norizam

‘Gaji sudah bayar, saya nak menang’- Norizam

PARA pemain Kelantan FC mendapat suntikan semangat baharu untuk memburu kemenangan dalam saingan Liga Super apabila pemilik kelab, Norizam Tukiman mengesahkan pengurusan sudah membayar semua gaji dan tiada tunggakan.

Malah beliau yang mesra disapa Zamsaham itu turut mengesahkan baki gaji sebanyak 50 peratus yang ditahan akan lunaskan kesemuanya.

Justeru beliau menagih agar pemain dapat memberikan aksi terbaik berdepan Kelantan United pada Jumaat.

“Saya telah bayar semua gaji, tiada tunggakan dan saya janji baki gaji yang ditahan 50 peratus semua akan dibayar. Mainlah sehabis baik.

“Bagi perlawanan minggu ini, berikan yang terbaik dan kemenangan. Kalau tak menang usahalah sehabis baik kepada seri. Kalau kalah, biarlah kalah bermaruah.

“Saya nak menang sebenarnya. Itu sahaja,” ujar Norizam menerusi catatan di Facebooknya pada Selasa.

Norizam menjelaskan The Red Warriors tidak berdepan tunggakan gaji sehingga dua bulan dan meskipun ada pembayaran gaji yang dibuat secara berperingkat, semua pemain tetap mendapat gaji penuh.

Bagaimanapun katanya, prestasi kurang memberangsangkan menyaksikan beliau terpaksa ‘menahan’ gaji kerana mahukan barisan pemain bangkit melakar kemenangan.

“Sebelum ini semua pemain dapat gaji penuh. Benar lambat dan ada bulan bayaran secara berperingkat dalam bulan sama tapi tiap-tiap bulan semua pemain tetap dapat jumlah gaji penuh. Tak benar dua bulan gaji tertunggak.

“Tapi bila kekalahan berterusan 10 kali. Saya kata nak gaji penuh April bagilah saya kemenangan. Main betul-betul. Saya bukan tolak, saya tahan.

“Saya nak cari duit susah. Biarlah rasa berbaloi dengan kemenangan. Kalau tak menang seri pun jadilah. Takdir ya takdir, tapi kenalah usaha lebih,” katanya.