London: Cody Gakpo jujur dalam menilai prestasi Liverpool di Stamford Bridge selepas Chelsea meraih kemenangan lewat menerusi jaringan Estevao Willian pada minit kelima masa kecederaan.
Ia kekalahan yang “sukar diterima” oleh penyerang Belanda berkenaan, yang percaya pelawat bermain “lebih baik” berbanding tuan rumah dan sepatutnya pulang dengan keputusan lebih positif.
Tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-14 menerusi rembatan jauh Moises Caicedo. Gakpo menyamakan kedudukan buat The Reds pada minit ke-63 selepas hantaran Alexander Isak, namun usahanya sia-sia apabila pemain gantian, Estevao, menjaringkan gol dramatik pada minit kelima masa kecederaan sekali gus menambah derita Arne Slot.
Kekalahan di Stamford Bridge pada Sabtu itu adalah kekalahan ketiga berturut-turut Liverpool dalam semua pertandingan.
Selepas mencatat lima kemenangan daripada lima perlawanan liga pembukaan, mereka tumbang kepada Crystal Palace minggu lalu dan secara rasmi ia menjadi amaran di Anfield selepas Arsenal menyingkirkan juara bertahan daripada takhta Liga Perdana (EPL).
“Ia sukar (untuk diterima). Saya rasa jelas kami menentang sebuah pasukan yang sangat bagus.
“Separuh masa pertama mereka menjaringkan gol menakjubkan tetapi saya fikir perlawanan seimbang.
“Separuh masa kedua kami berjuang keras untuk gol penyamaan dan kami bermain sedikit lebih baik berbanding mereka, tetapi mereka berbahaya menerusi serangan balas. Untuk dibolosi pada minit akhir memang sukar diterima,” katanya.
Beliau turut berkongsi pandangannya mengenai prestasi membimbangkan juara bertahan itu.
“Saya tidak mahu kata keyakinan rendah. Saya faham maksud anda.
“Ketika ini keadaan tidak menyebelahi kami. Mungkin lima perlawanan lalu semuanya memihak kepada kami. Inilah bola sepak. Kami perlu hadapinya dan terus berjuang. Kami perlu terus menekan.
“Apabila anda bermain di kelab sebesar ini, adalah normal bila kalah tiga kali berturut-turut ia tidak cukup baik. Kami tahu sebagai pemain. Kami amat sedar dengan situasi ini. Kami tahu apa yang perlu dilakukan, iaitu kembali ke landasan kemenangan,” kata Gakpo.
© New Straits Times Press (M) Bhd




