Galak majikan manfaatkan Job Coach, bantu pekerja OKU sesuaikan diri

Galak majikan manfaatkan Job Coach, bantu pekerja OKU sesuaikan diri

BUKIT MERTAJAM : Para majikan digalak untuk memanfaatkan perkhidmatan Job Coach dalam usaha membantu pekerja yang terdiri daripada kalangan orang kurang upaya (OKU) menyesuaikan diri dengan tugasan serta persekitaran kerja mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, dalam hal ini, Job Coach juga boleh digunakan untuk membantu majikan memahami keperluan pekerja serta penggunaan kaedah komunikasi yang bersesuaian.

“Dengan bimbingan yang bersesuaian, penyesuaian tempat kerja dan sikap saling memahami, saya percaya lebih ramai warga OKU berpotensi untuk bekerja dengan baik dan menyumbang secara produktif,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berucap ketika merasmikan program Langkah Bersama Berapit 2.0: Kerjaya dan Peluang Warga Belia OKU di sini, hari ini. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee.

Terdahulu, beliau memaklumkan, usaha memastikan golongan belia OKU mendapat laluan yang jelas daripada alam persekolahan kepada alam pekerjaan memerlukan kerjasama menyeluruh antara pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Katanya, menerusi pendekatan ‘whole-of-government’, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat (KPWKM) telah bekerjasama dengan beberapa kementerian serta pihak berkepentingan lain agar sokongan kepada golongan OKU boleh dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan bersepadu.

“Matlamat kita adalah jelas iaitu memastikan belia OKU bukan sahaja mendapat akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran, tetapi juga berpeluang memasuki alam pekerjaan, membina keyakinan diri dan menjalani kehidupan yang berdikari serta bermaruah,” katanya.

Tambah Hui Ying, penyertaan sektor swasta juga amat penting dalam hal ini kerana usaha mewujudkan peluang pekerjaan yang inklusif tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata.

Sementara itu, beliau turut berharap agar peruntukan bantuan sebanyak RM1.5 bilion yang diberi kepada golongan OKU dalam Belanjawan 2027 dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk memperkasa golongan berkenaan.

Semalam, kerajaan mengumumkan, peruntukan yang mampu memanfaatkan sehingga 300,000 OKU itu merangkumi beberapa bentuk bantuan termasuk peningkatan kadar bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik kepada RM600 sebulan serta kenaikan had pendapatan elaun pekerja OKU kepada RM2,000.

Turut dinaikkan ialah Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas kepada RM200 serta Insentif Pengajaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas kepada RM300, pembinaan dua buah Pusat Permata Kurnia, pembukaan lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu dan lain-lain.-UTUSAN

Scroll to Top