Istanbul: Galatasaray menuduh pengurus Fenerbahce, Jose Mourinho, membuat kenyataan berbaur perkauman selepas perlawanan derbi Istanbul yang berakhir dengan keputusan 0-0, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, tidak jelas kenyataan mana dirujuk oleh Galatasaray dan bekas pengendali Real Madrid, Manchester United, Chelsea, dan Tottenham Hotspur itu belum memberi respon secara terbuka terhadap dakwaan itu.
Menurut laporan, selepas perlawanan liga itu, Mourinho didakwa berkata duduk di bangku simpanan tuan rumah umpama ‘melompat seperti monyet’, selain mengulangi kritikannya terhadap pengadil Turki.
Perlawanan itu dikendalikan oleh Slavko Vincic dari Slovenia, yang dilantik selepas kedua-dua kelab meminta pengadil luar negara mengendalikan perlawanan berprofil tinggi itu.
Dalam satu kenyataan rasmi, Galatasaray mengumumkan mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mourinho, 62.
“Sejak memulakan tugas sebagai pengurus di Turkiye, pengurus Fenerbahçe, Jose Mourinho secara berterusan mengeluarkan kenyataan menghina yang ditujukan kepada rakyat Turkiye,” kata kelab itu.
“Hari ini, ucapannya telah melangkaui sekadar komen tidak bermoral dan berubah menjadi retorik yang jelas tidak berperikemanusiaan.
“Kami dengan ini secara rasmi mengisytiharkan niat kami untuk memulakan tindakan undang-undang berhubung kenyataan berbaur perkauman yang dibuat oleh Mourinho dan akan mengemukakan aduan rasmi kepada UEFA dan Fifa.
“Selain itu, kami akan memantau dengan teliti pendirian diambil Fenerbahce – sebuah institusi yang mengaku menjunjung ‘nilai moral yang teladan’ – terhadap kelakuan tidak dapat diterima yang ditunjukkan oleh pengurus mereka.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




