Galatasaray layu dibelasah Frankfurt

Galatasaray layu dibelasah Frankfurt

Frankfurt: Eintracht Frankfurt bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan bergaya apabila membelasah Galatasaray 5-1 dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Skuad Turkiye itu mengejutkan tuan rumah seawal minit kelapan menerusi Yunus Akgun yang menyempurnakan gerakan hasil bantuan Leroy Sane.

Pemain kebangsaan Jerman itu mencatat sejarah sebagai pemain pertama UCL yang beraksi untuk empat kelab berbeza dan berjaya menjaringkan gol atau mencipta bantuan jaringan pada penampilan sulung bersama setiap kelab.

Namun Frankfurt, yang hanya kali kedua beraksi di pusingan utama UCL, mula menemui rentak selepas kesilapan Akgun di minit ke-37 membuka ruang untuk Ritsu Doan merembat bola yang kemudian terbias Davinson Sanchez masuk ke gawang sendiri.

Kebangkitan tuan rumah diteruskan pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila pemain muda Turkiye berusia 19 tahun, Can Uzun, melakukan kawalan kemas sebelum berpusing pantas untuk menjaringkan gol sulungnya di pentas Eropah.

Belum sempat Galatasaray bangkit, Frankfurt menambah derita mereka apabila Jonathan Burkardt menanduk masuk gol ketiga, juga gol sulungnya di UCL, bagi menutup babak pertama dengan kedudukan 3-1.

Memasuki separuh masa kedua, Galatasaray terpaksa mengambil risiko menyerang, namun ruang itu dimanfaatkan Frankfurt dengan Burkardt menambah gol kedua peribadi pada minit ke-66.

Ansgar Knauff melengkapkan pesta jaringan dengan gol kelima pada minit ke-75 untuk memastikan kemenangan mutlak 5-1 di hadapan penyokong sendiri.

Frankfurt selepas ini akan berdepan Atletico Madrid pada 1 Oktober, manakala Galatasaray pula menanti kunjungan Liverpool.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top