Galaxy S26 Ultra lebih bertenaga

Galaxy S26 Ultra lebih bertenaga

husain@hmetro.com.my

Inovasi Samsung di dalam pengeluaran telefon bimbit memang tidak dapat disangkal dan Samsung Galaxy S26 Ultra menjadi bukti bahawa konglomerat Korea Selatan itu serius setiap kali memperkenalkan model baharu telefon bimbitnya.

Apabila dihubungi oleh pihak Samsung bahawa mereka akan bekalkan sebuah telefon bimbit baru untuk diuji pakai, penulis berasa sangat teruja dan tidak sabar menanti telefon baru yang dikatakan itu.

Tanpa lengah penguji terus ‘unboxing’ set uji pakai Galaxy S26 Ultra yang dikirim sebaik menerima pakej dari perkhidmatan kurier kira-kira seminggu lalu.

Dari reka bentuknya sahaja ia memang nampak elegan, lebih nipis iaitu hanya 7.9 milimeter dan lebih ringan hanya 214 gram jika dibandingkan dengan model terdahulu.

Dilengkapi pula dengan skrin rata berdimensi 6.9 inci dari jenis QHD+ Dynamic AMOLED 2x beresolusi 3120 x 1440 menambah keselesaan gaya guna yang optimum. Tak kiralah untuk menyelesaikan tugasan, berbual dengan rakan, menonton video, melihat semula gambar-gambar yang dirakam dan sebagainya.

Tetapi penguji berasa sedikit gusar apabila memegang telefon terbaru ini, walaupun lebih ringan jika dibandingkan dengan model terdahulu, namun ia agak licin dan mudah terlepas dari genggaman. Jadi, pastikan ia dipegang erat untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Elok juga sekiranya pengguna membeli kasing tahan lasak bagi memastikan keselamatannya. Penguji sarankan kasing jernih yang boleh menampakkan warnanya yang elegan. Sebab, susah-susah kita memilih warna pilihan dan kadang-kadang tak dapat warna yang kita kehendaki disebabkan kehabisan stok dan sebagainya.

Telefon yang dibekalkan kepada penguji memiliki kerangka luaran aluminium berwarna biru, sememangnya warna yang diinginkan. Nampak lebih eksklusif dan menawan, malah lebih ringan.

Ada dua lapisan skrin melengkapi Galaxy S26 Ultra ini yang mana bahagian dalamnya dikatakan menggunakan skrin jenis Gorilla Glass Victus 2 dan dilapisi skrin hadapan yang diperbuat daripada Gorilla Armor 2 Corning yang lebih tahan.

Bukan saja skrin menjadi lebih tahan lasak, malah paparannya menjadi lebih jelas. Lebih menarik lagi terdapat ciri paparan privasi untuk melindungi orang lain daripada mencuri pandang skrin anda. Selalu kita perlu memasang lapisan skrin khas untuk mendapatkan ciri itu.

Sangat mudah untuk melaraskan ciri paparan privasi itu hanya dengan menekan butang Settings kemudian Display dan pilihlah Privacy Display untuk diaktifkan. Jika ada orang cuba mencuri tengok dari tepi skrin, mereka hanya akan nampak skrin hitam.

Galaxy S26 Ultra ini juga masih mengekalkan fungsi S-Pen seperti model sebelumnya dan sudah pasti ianya dikuasai oleh cip pemproses yang lebih bertenaga iaitu Snapdragon 8 Elite Gen 5 daripada Qualcomm yang diumumkan pada tahun lalu.

Ia merupakan cip perdana berasaskan platform mudah alih 3 nanomater yang kesesuaiannya untuk merangsang prestasi permainan video, CPU yang lebih pantas dan kelebihan AI.

Ciri AI dalam Galaxy S26 Ultra ini perlu lebih tangkas kerana antaranya tugasnya ialah menyaring setiap panggilan masuk sebelum memberi maklumat dan pendapat kepada pemilik sama ada panggilan daripada nombor tidak dikenali itu boleh dijawab atau tidak.

Justeru, ciri AI ini akan menjadi lebih bermakna kepada pengguna lebih-lebih lagi sekarang ini banyak panggilan daripada ‘scammer’. Mereka kini lebih selamat tetapi belum bebas sepenuhnya daripada panggilan penipu-penipu itu kerana ia adalah AI dan masih perlukan penilaian manusia.

Pratempahan sudah dibuka oleh semua syarikat telekomunikasi dan ada yang sudah dapat. Tidak lama lagi lebaran akan muncul, sekiranya anda sedang mencari telefon bimbit baru dan ada bajet lebih, maka pertimbangkanlah Samsung Galaxy S26 Ultra ini. Anda pasti tak berbangga kerana memilikinya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top