Gambar buaya tular di Kampung Pisang palsu, PERHILITAN nafi terima aduan

Gambar buaya tular di Kampung Pisang palsu, PERHILITAN nafi terima aduan

am@hmetro.com.my

Batu Gajah: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak tidak menerima sebarang laporan berhubung penampakan buaya di Sungai Kinta berhampiran Kampung Pisang, di sini, seperti yang tular di media sosial, hari ini.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gambar yang tular itu adalah imej hasil janaan kecerdasan buatan (AI).

“Palsu. Ianya gambar edit (suntingan) AI. Kita tiada terima aduan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, tular gambar bersama keterangan di media sosial menggesa orang ramai khususnya kaki pancing agar berhati-hati susulan kemunculan buaya berhampiran jambatan di Kampung Pisang.

Mengenai tindakan yang boleh diambil terhadap isu terbabit, Yusoff berkata, perkara itu bukan di bawah bidang kuasa PERHILITAN.

“Tindakan itu dikhuatiri menimbulkan ketakutan kepada pemancing dan orang ramai khususnya penduduk sekitar.

“Mohon pihak berkenaan tidak sebarkan maklumat tidak tepat dengan menyalahgunakan teknologi.

“Kami memang tiada bidang kuasa untuk ambil tindakan terhadap penyebar berita palsu namun polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh lakukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top