Game atau Realiti? Bila Khayalan Menjadi Punca Jenayah

Petaling Jaya: Bunyi tembakan kedengaran di skrin, jeritan pemain berlegar di permainan maya, dan sorakan kemenangan bergema setelah tumpasnya lawan. Itulah dunia baru yang semakin menguasai kehidupan remaja hari ini, menjadikan mereka mabuk dengan ilusi seakan-akan ia realiti. Dunia tanpa sempadan waktu dan tempat, namun siapa sedar disebalik keseronokan yang mereka nikmati secara melampau itu, terdapat kisah pilu yang menanti di penghujung permainan tersebut.

Dalam era teknologi yang kian maju, permainan video kini tampil semakin realistik dan berjaya memikat minat ramai, termasuklah remaja yang masih mentah fikirannya. Mereka sering terperangkap antara hakikat dan khayalan, apatah lagi dengan sifat ingin tahu yang tinggi serta keinginan untuk mencuba perkara baharu. Namun, di sebalik keseronokan dunia maya yang seolah-olah tiada batas itu, tersembunyi bahaya yang perlahan-lahan meresap ke jiwa. Apa yang pada awalnya sekadar hiburan, kini berubah menjadi punca kelalaian, kerosakan emosi, dan bahkan mendorong kepada perlakuan jenayah.

Siapa sahaja yang tidak tahu permainan game online seperti Super Mario, Pokemon dan Digimon. Ia  game online yang pernah dikenali pada zaman 90-an dan menjadi tumpuan dan kegilaan pada ketika itu. Mengikut peredaran masa dan teknologi yang semakin berkembang, terciptanya pelbagai game online baharu seperti PUBG, ML, Roblox, Minecraft dan banyak lagi yang menjadi tumpuan remaja pada masa kini. Apakah yang akan terjadi apabila permainan game online sepatutnya menjadi tempat hiburan berubah menjadi kes jenayah ?

Masyarakat kini berdepan dilema, kita semakin dikaburi oleh dunia yang sangat canggih dengan kemajuan teknologi yang sedia ada, menjadikan remaja semakin lalai dengan kewajiban yang sepatutnya mereka utamakan. Hal ini terbukti apabila pencapaian akademik di institusi pengajian telah dipandang remeh oleh pelajar sekolah itu sendiri. Jika dahulu pelajar sekolah berlumba-lumba mengejar keputusan cemerlang dan pencapaian akademik yang baik, kini mereka lebih sibuk mengejar permainan atas talian dan sanggup menghabiskan tenaga mereka siang malam hanya untuk mendapatkan kedudukan tertinggi dalam permainan atas talian tersebut.

Mutakhir ini, negara dikejutkan dengan pelbagai kes tragis melibatkan pelajar sekolah. Apa yang pada mulanya sekadar hiburan permainan video kini menjadi punca ketagihan yang membimbangkan. Tular baru-baru ini kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikelar dan ditikam oleh abangnya berusia sembilan tahun akibat pertikaian kecil dalam permainan Roblox. Menurut laporan akhbar, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada ketagihan melampau terhadap permainan atas talian sehingga menyebabkan si abang mengalami halusinasi pada waktu malam. Lebih mengerikan, dia seolah-olah mendengar bisikan yang mengarahkannya untuk mencederakan ahli keluarga sendiri sebelum bertindak menyerang adiknya menggunakan pisau dapur.

Apabila diteliti secara mendalam, punca utama tragedi sebegini sebenarnya berpunca daripada tahap kawalan dan pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak di rumah. Siapa sangka, anak yang dididik dan dibelai dengan penuh kasih sayang boleh berubah menjadi pelaku jenayah pada usia yang begitu muda hanya disebabkan oleh ketagihan permainan dalam talian.

Hakikatnya, ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk disiplin dan keseimbangan hidup anak-anak, khususnya dalam penggunaan telefon pintar. Oleh itu, pengawasan yang konsisten amat diperlukan. Ibu bapa boleh menetapkan peraturan atau syarat tertentu, seperti mengehadkan tempoh masa penggunaan telefon, memilih aplikasi yang sesuai, serta memastikan anak-anak tidak terdedah kepada kandungan yang tidak sepatutnya.

Langkah sebegini bukan sahaja dapat mengawal ketagihan terhadap gajet, malah mendidik anak-anak tentang kepentingan disiplin, keseimbangan hidup, dan pengurusan masa. Dengan pendekatan yang bijak dan berhemah, anak-anak bukan sahaja dapat menikmati hiburan digital secara sihat, malah memperoleh tidur yang mencukupi, mengurus emosi dengan baik, dan membina keperibadian yang lebih matang.

Kita tidak menolak kemajuan teknologi dan tidak juga menafikan dunia e-sukan serta para penggemarnya baik dari kalangan profesional atau pemain biasa. Seperti yang kita sedia maklum, industri ini bernilai berbilion ringgit dan berpotensi menjana masa depan yang cerah sekiranya dikawal dengan betul. Namun, apabila sempadan moral dan kesejahteraan mental tidak dijaga, teknologi yang sepatutnya menjadi alat kemajuan akhirnya akan memakan manusia itu sendiri.

Semuanya berputar dalam satu kitaran yang akhirnya memerangkap anak-anak muda pada hari ini. Dari sekadar bermain untuk mengisi masa, menjadi tidak mampu hidup tanpa permainan. Dari sekadar hiburan, bertukar menjadi ketagihan. Dari sekadar watak maya, berubah menjadi pesalah jenayah di dunia nyata. Oleh itu, ibu bapa perlu kembali berperanan sebagai pelindung, bukan sekadar pengkritik. Mereka harus memantau, bukan hanya marah. Guru pula harus mendidik, bukan sekadar menghukum, manakala pihak berkuasa mesti bertindak bukan selepas tragedi, tetapi sebelum ia berlaku. Hal ini kerana apabila hobi bertukar menjadi tragedi, tiada butang “restart” yang mampu mengembalikan nyawa seseorang.

Oleh: Nur Azlina binti Azmi
Exco Akademik Lajnah Dakwah & Pembangunan Insan
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Scroll to Top