am@hmetro.com.my
Pendang: Bermula dengan suka-suka berkumpul dengan rakan-rakan lama di kawasan lapang berhampiran Tasik Pendang, kini kawasan ini menjadi tumpuan riadah orang ramai.
Bukan saja boleh bersantai sambil melihat matahari terbenam, pengunjung juga boleh menikmati kopi serta makanan seperti tapai, peknga, air sirap dicampur kulit kayu manis, aiskrim Malaysia dan buah-buahan secara percuma.
Lebih menarik lagi, sebahagian pengunjung yang hadir turut memakai baju ala retro serta dipasang muzik lagu-lagu era 70-an.
Penganjur, Mohd Zaki Yusof, 52, berkata, pada mulanya dia dan beberapa rakan menjadikan tempat itu sebagai lokasi beriadah sambil bersembang pada petang Jumaat.
Ia akhirnya mencetus idea untuk menjadikan kawasan itu sebagai tempat berkumpul geng Kelab Motosikal Klasik Kedah yang datang bersama motosikal lama era 70-an dan 80-an.
“Kami melepak di sini setiap dua kali sebulan iaitu pada hari Jumaat antara jam 5 hingga 7 petang dengan membawa motosikal klasik dan membancuh kopi sebagai daya penarik.
“Namun tak sangka, gambar yang kami tular di TikTok kini menjadikan lokasi ini tumpuan orang ramai yang datang semata-mata untuk mengambil gambar menarik di sini.
“Sejak itu juga kami sediakan kopi dan sirap secara percuma. Kos untuk membeli bahan mentah, kami kongsi, ” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, ahli kelab motosikal klasik itu juga agak ramai iaitu 85 orang dan masing-masing menghias motosikal mereka untuk nampak lebih menarik.
Katanya, disebabkan masing-masing sibuk bekerja, mereka hanya dapat berkumpul dua kali dalam sebulan.
“Ada juga yang infaq makanan untuk orang ramai selain ada yang menyampaikan sumbangan membeli barangan mentah dan semuanya dilakukan secara suka-suka.
“Kami turut menyediakan lima hadiah untuk kategori lelaki berpakaian klasik, wanita, kanak-kanak serta motosikal klasik dan kereta klasik di sini,” katanya.
Mohd Zaki berkata, sepanjang bulan Ramadan ini, mereka akan berehat dulu sebelum menyambung semula program selepas Aidilfitri ini.
Pengunjung, Ghazali Salleh, 72, berkata, sejak adanya aktiviti riadah di situ, dia sering membawa Vespa yang berusia 50 tahun miliknya ke situ untuk bersantai bersama geng kelab motosikal berkenaan.
Katanya, dahulunya dia membeli Vespa itu dengan harga RM1,000 tetapi sekarang motosikal itu mencecah hingga RM13,000 kerana sudah ‘pupus’.
“Nak balik ke zaman silam memang tak boleh dah, jadi bila ada konsep pakaian zaman 70-an, saya rasa seronok dan ditambah pula dengan muzik klasik yang dipasang, memang seronok la, ” katanya.
Bagi Abdul Talib Sudin, 59, dari Kampung Manggol, di sini pula, dia rasa seronok apabila dapat membawa kenderaan pacuan empat roda miliknya yang berusia sejak 70 tahun datang ke situ untuk tatapan ramai.
Katanya, kenderaan jenis Land Rover Series 1 itu dikeluarkan pada tahun 1955 dan dia membelinya daripada pemilik sebelum ini dengan harga RM600.
“Kereta ini wujud sejak sebelum Merdeka lagi, tapi orang ramai yang datang ke sini tidak melepaskan peluang mengambil gambar untuk kenangan, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




