asmaini@mediaprima.com.my
UNIKNYA menjalani ibadah puasa di bumi Turkiye!
Dari amalan keagamaan, tradisi masyarakatnya hingga juadah tradisi, negara yang terletak di antara dua benua itu sememangnya memiliki banyak keunikan yang tersendiri.
Dengan penduduk lebih 20 juta, Istanbul sememangnya kota metropolis yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.
Biarpun sudah kali ketiga menjejakkan kaki ke kota Istanbul tetapi sejujurnya kunjungan kali ini cukup berbeza dan bermakna bagi penulis apabila berpeluang menjalani ibadah puasa di negara itu bersama enam rakan media dari Malaysia dan Indonesia.
Penulis dibawa mengenali dengan lebih dekat sejarah beberapa masjid utama di kota Istanbul, tradisi masyarakat tempatan serta menjamah juadah Ramadan popular masyarakat di sana.
Pada ketika ini, tempoh masa berpuasa di negara itu tidak jauh beza dengan di Malaysia iaitu antara 14 hingga 16 jam sahaja.
Begitu pun untuk makluman pembaca, meskipun hampir keseluruhan penduduk Turkiye beragama, Islam namun ia adalah sebuah negara sekular.
Amalan berpuasa di Turkiye adalah bergantung kepada pilihan individu itu sendiri manakala restoran dibuka seperti biasa pada sebelah siang dan tiada larangan makan di khalayak ramai.
Jadi, jangan terkejut jika anda melihat rakyat tempatan bebas makan dan minum di depan khalayak ketika Ramadan.
Oh ya, ketika ini, musim bunga baharu sahaja bermula di negara itu dan penduduknya menjalani ibadah puasa dalam cuaca yang masih agak dingin.
Juadah tradisi
Jika di Malaysia, kita sudah terbiasa dengan hidangan berat berasaskan nasi tetapi di Turkiye, menu utama penduduknya adalah roti.
Namun, masih terdapat pelbagai juadah enak lain yang boleh dicuba antaranya Ramazan Pidesi iaitu sejenis roti gandum yang ditaburi bijan serta manisan gullac yang diperbuat daripada susu, kepingan pastri nipis daripada beras, kacang pistachio, buah delima dan air mawar.
Penulis turut diberi peluang mengikuti kelas masakan khas bagi menyediakan manisan berkenaan yang sememangnya mudah untuk disediakan.
Selain itu, hidangan mercimek corbasi atau sup kacang kuda yang enak dan berkhasiat juga antara juadah popular bagi masyarakat di negara berkenaan sepanjang Ramadan.
Ia disajikan bersama Meze Platter iaitu hidangan pembuka selera yang biasanya mengandungi keju, kurma, buah zaitun, sayur ringkas seperti timun dan tomato, buah-buahan serta madu.
Sajian juga akan dilengkapi dengan roti, manisan seperti gullac atau baklava yang dihidangkan bersama secangkir kopi Turkiye atau teh panas.
Untuk sajian utama, kebanyakannya berasaskan daging, kambing dan ayam yang dipanggang atau dimasak dengan api perlahan.
Masjid Utama Tumpuan Ramai
Menerusi pemandu pelancong, Mecit Bogday (Majeed), penulis difahamkan terdapat lebih 3,200 masjid di sekitar Istanbul dan angka itu juga dikatakan semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Penulis juga berkesempatan menziarahi Masjid Eyup Sultan, masjid yang dinamakan sempena nama Abu Ayyub al-Ansari iaitu salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang syahid ketika menyertai penaklukan ke Konstantinopel pada abad ke tujuh.
Kawasan masjid berkenaan diyakini menjadi lokasi persemadian tokoh Islam itu hingga mendorong Sultan Mehmed II untuk membina sebuah masjid di tapak terbabit sebagai menghormati perjuangan Abu Ayyub al-Ansari.
Difahamkan, ia juga adalah masjid pertama yang dibina empayar Uthmaniyah di Istanbul (siap pada tahun 1459) dan selepas menjalani beberapa pengubahsuaian serta pembesaran, ia berdiri megah sehingga hari ini.
Dalam kunjungan sama, penulis turut berkesempatan menziarahi makam Abu Ayyub al-Ansari yang terletak bersebelahannya.
Kunjungan kali ini juga membolehkan penulis menjejaki Masjid Hirka-i Sharif yang berusia lebih 160 tahun.
Ia menjadi tumpuan ramai setiap kali Ramadan kerana di situlah tersimpannya sehelai jubah peninggalan Rasulullah SAW yang masih utuh tersimpan rapi sehingga ke hari ini.
Jubah itu yang dipanggil dengan nama Hirka-i Sharif itu dipercayai adalah pemberian Rasulullah SAW kepada seorang pemuda yang namanya sehingga kini menjadi sebutan, Uwais Al-Qarni sebagai hadiah.
Selain itu, kurang lengkap kunjungan ke Istanbul jika tidak singgah di Masjid Sultan Ahmed atau lebih dikenali sebagai Masjid Biru.
Masjid yang mula dibina antara tahun 1610 hingga 1616 itu agak istimewa kerana reka bentuknya meliputi enam menara tinggi tidak seperti masjid lain yang lazimnya mempunyai satu hingga empat menara sahaja.
Ia dikenali sebagai Masjid Biru kerana dihiasi jubin biru bercorak tradisional dan dikelilingi kaligrafi ayat suci al-Quran.
Selain berfungsi sebagai masjid, ia juga menjadi tarikan pelancong popular di Istanbul.
Penulis juga difahamkan, ada tradisi menarik yang diamalkan masyarakat negara itu sepanjang Ramadan iaitu membaca al-Quran secara beramai-ramai ( Mukabalah) sebelum waktu Zuhur dan Asar.
Amalan Mukabalah itu juga sentiasa dihidupkan di masjid-masjid lain di seluruh negara berkenaan.
Selain empat masjid berkenaan penulis turut singgah ialah di Masjid Taksim, Masjid Yusa dan Masjid Yeni bagi menghayati sendiri keindahan seni bina serta peradaban sejarah Islam.
Hagia Sophia
Siapa yang tidak kenal dengan bangunan gah ini dan rata-rata pengunjung yang berkunjung ke Turkiye sebolehnya pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk mengunjunginya.
Ketika kunjungan penulis, Hagia Sofia atau juga dikenali sebagai Aya Sophia sedang menjalani proses pengubahsuaian namun pengunjung masih dibenarkan untuk memasukinya.
Bangunan bersejarah itu menjadi gereja utama di Konstantinople selama hampir 1,000 tahun, sebelum ditukar menjadi masjid pada tahun 1453 apabila dikuasai Kerajaan Uthmaniyyah selain pernah dijadikan sebagai muzium sebelum ditukar kembali sebagai masjid pada tahun 2020.
Menariknya, kedudukan Hagia Sophia yang terletak tidak jauh dari Masjid Biru membolehkan laungan Azan Zuhur dan Asar di dua masjid itu diadakan secara bersahutan dengan berselang seli (Munawabah).
Gemerlapan Mahya
Untuk makluman pembaca, suasana Ramadan di Turkiye juga meriah dengan kebanyakan masjid-masjid utama akan memancarkan Mahya iaitu iluminasi lampu bercahaya di antara menara masjid yang memaparkan mesej berkaitan Islam dan Ramadan.
Tradisi unik masyarakat Turkiye itu bagi memuliakan lagi kehadiran Ramadan, bulan yang penuh keberkatan.
Antara mesej yang disampaikan adalah berkaitan kebesaran Ilahi, pesanan kepada umat Islam mengenai solat, zakat, amalan soleh dan sebagainya.
Mahya yang digantung tinggi di menara masjid itu boleh kelihatan dengan jelas walaupun dari jauh.
Meskipun kunjungan kami ke bumi Turkiye agak singkat namun penulis bersyukur kerana berpeluang merasai sendiri keunikan pengalaman berpuasa dan merasai suasana Ramadan di negara berkenaan.
Terima kasih Turkiye Tourism Promotion and Development Agency (TGA) dan Turkish Airline atas peluang merasai sendiri keunikan suasana Ramadan di bumi Turkiye, baru-baru ini.
Semoga agama Islam terus subur di bumi indah nan penuh bersejarah ini. Tekrar Gorusmek Uzere, Turkiye! (Sampai jumpa lagi, Turkiye!).
© New Straits Times Press (M) Bhd




