saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu campuran juara dunia negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamer kebangkitan sensasi untuk menumbangkan gandingan nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 22-24, 21-19, 21-17, sekali gus mara ke pentas final Masters China.
Pada aksi separuh akhir di Shenzhen Arena, hari ini, Tang Jie-Ee Wei yang menduduki ranking kedua dunia, menujukkan semangat juang tinggi dan tidak mengenal erti putus asa selepas tewas di set pertama.
Gandingan negara itu tenang mengawal permainan terutamanya di hujung set kedua untuk sebelum mengheret perlawanan ke set penentuan.
Tang Jie-Ee Wei meneruskan rentak kecemerlangan mereka dengan mula menjarakkan diri berbanding lawan mereka sebelum melakar kemenangan mutlak sekali gus mendiamkan penyokong tuan rumah.
Kemenangan itu pastinya cukup bermakna untuk Tang Jie-Ee Wei kerana ia menamatkan badi empat kekalahan berturut-turut di tangan gandingan China itu selepas kali terakhir menumbangkan mereka di Sukan Olimpik Paris, tahun lalu.
Dengan kemenangan itu, Tang Jie-Ee Wei akan bertemu gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran pada aksi final, esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




