Bersedialah untuk merasai gelora cinta dan dilema jiwa menerusi Seindah Hujan Cinta, sebuah drama bersiri yang sarat emosi dan konflik yang bakal bersiaran di Tonton bermula esok, 21 Julai 2025.
Drama ini menyatukan barisan pelakon berbakat besar iaitu Nelydia Senrose, Yusuf Bahrin, Ezzanie Jasny, Hariz Hamdan, Fadilah Mansor, Zulkifli Ismail dan Normah Damanhuri dalam satu penceritaan yang penuh warna dan nuansa emosi.
Di bawah arahan pengarah prolifik, Nizam Zakaria, Seindah Hujan Cinta mengangkat kisah cinta penuh pengorbanan antara Zarita (Nelydia Senrose), seorang pempengaruh yang sedang meniti puncak kerjaya dan suaminya Wassim (Yusuf Bahrin), seorang lelaki yang mendambakan kehadiran zuriat selepas lima tahun perkahwinan mereka tidak dikurniakan anak.
Dalam usaha menyeimbangkan kerjaya dan rumah tangga, Zarita membuat keputusan mengejut apabila merelakan suaminya berkahwin lain. Lebih luar biasa, dia sendiri mencadangkan adik angkatnya, Aneesa yang dilakonkan penuh kelembutan dan kedalaman emosi oleh Ezzanie Jasny untuk menjadi madu.
Namun, kemelut sebenar bermula apabila perasaan cemburu dan penyesalan mula membelenggu hati Zarita selepas melihat kebahagiaan yang mula tumbuh antara Wassim dan Aneesa.
Hariz Hamdan pula hadir sebagai watak penting yang mencorak perjalanan emosi ketiga-tiga watak utama, menambah lagi dimensi kepada konflik cinta dan tanggungjawab.
Turut menyokong kekuatan naratif adalah lakonan menyentuh hati daripada Fadilah Mansor, Zulkifli Ismail dan Normah Damanhuri, yang masing-masing membawa watak keluarga yang sarat kasih sayang, nasihat, serta nilai tradisi yang mengikat hubungan sesama insan.
Seindah Hujan Cinta bukan sekadar drama tentang cinta tiga segi atau poligami. Ia menyelami pergolakan batin wanita yang tersepit antara impian kerjaya dan naluri keibuan, perjuangan seorang suami untuk berlaku adil, serta pengorbanan seorang adik angkat demi kesetiaan dan budi.
Dengan kekuatan lakonan, dialog yang menyentuh perasaan dan konflik yang dekat dengan realiti masyarakat, drama 28 episod ini menjanjikan pengalaman menonton yang penuh intensiti dan nilai kemanusiaan.
Jangan lepaskan tayangan perdana Seindah Hujan Cinta bermula 21 Julai ini, eksklusif di Tonton. Ikuti perkembangan lanjut menerusi media sosial rasmi @tontonmy di Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram, serta gunakan hashtag rasmi #Tonton untuk menyertai perbualan bersama peminat lain.