helmi.talkah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Malaysia merangkul gelaran kedua dalam saingan Terbuka Austria selepas beregu lelaki muda, Wan Arif Wan Junaidi-Mohd Haikal Nazri muncul juara, sebentar tadi.
Mereka yang dikenali dengan julukan gandingan ‘Patatimo’ kerana berasal dari Terengganu dan Kelantan mencipta sensasi apabila mengejutkan pilihan kelima kejohanan dari Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar 21-17, 21-15 dalam aksi final yang berlangsung selama 39 minit.
Ini adalah gelaran pertama buat kedua-dua pemain berusia 18 tahun itu di pentas antarabangsa sejak dinaikkan pangkat ke skuad senior awal tahun ini.
Terdahulu, beregu campuran muda negara, Choong Hon Jian-Toh Ee Wei turut muncul juara selepas melakar kejutan menewaskan pilihan pertama kejohanan dari Perancis, William Villeger-Sharone Bauer 16-21, 21-9, 21-19 dalam aksi final.
Sementara itu, beregu wanita negara, Anna Cheong-Yap Cheng Wen terpaksa akur dengan gelaran naib juara selepas tewas di tangan pasangan Indonesia, Ni Ketut Mahadewi Istarani-Serena Kani 21-11, 21-16 dalam aksi final.
© New Straits Times Press (M) Bhd