nurul_husna@hmetro.com.my
APABILA memperkatakan berkenaan implikasi yang boleh memberi risiko terhadap kesihatan segelintir penghidap penyakit tertentu, kita lebih tertumpu kepada gaya hidup dan pemakanan.
Sedangkan ada faktor persekitaran tidak kurang pentingnya selain boleh mempengaruhi kualiti kesihatan segelintir pesakit yang menghidap penyakit tertentu.
Bagi mereka yang menghidapi masalah berkaitan kelenjar adrenal, golongan ini boleh terkesan dengan perubahan cuaca tidak menentu.
Itu dikongsikan Pakar Perunding Endokrinologi dan Diabetes Pusat Perubatan Sunway, Dr Lim Chong Wei mengenai cabaran dihadapi pesakit kelenjar itu.
Dr Lim berkata, kelenjar adrenal menghasilkan hormon penting untuk tubuh.
“Kelenjar adrenal juga dipanggil kelenjar suprarenal adalah organ kecil segi tiga di atas setiap buah pinggang.
“Ia berperanan menghasilkan hormon penting seperti kortisol, noradrenalin dan adrenalin yang penting untuk mengekalkan tekanan darah dalam julat yang sihat.
“Contohnya jika badan kekurangan kortisol yang mencukupi, tekanan darah seseorang mungkin menurun dan ada komplikasi terhadap kualiti kesihatan individu terbabit,” katanya.
Selain mengekalkan tekanan darah, kekurangan adrenal iaitu kelenjar adrenal gagal menghasilkan hormon yang mencukupi, seseorang itu berisiko mengalami gejala autoimun.
“Kekurangan adrenal berlaku apabila kelenjar adrenal tidak dapat menghasilkan hormon mencukupi yang penting bagi mengekalkan tekanan darah, mengawal metabolisme dan menguruskan tekanan.
“Keadaan itu biasanya menjejaskan golongan berusia 30 hingga 50 tahun dan ia dikaitkan dengan keadaan autoimun seperti diabetes jenis 1, penyakit selia (coeliac) dan gangguan tiroid.
“Bagaimanapun, faktor persekitaran lain seperti tuberkulosis (TB), virus kekurangan imun manusia (HIV) dan jangkitan kulat juga boleh menyumbang kepada keadaan ini dalam mana-mana kumpulan umur,” katanya.
Menjelaskan pengaruh cuaca kepada individu yang hidup dengan kekurangan adrenal, ia boleh mengganggu ketepatan diagnosis gejala berkait dengan penyakit itu.
Haba dan kelembapan iklim tropika yang berpanjangan di Malaysia boleh menyebabkan gangguan adrenal lebih sukar dikenal pasti.
Gejala seperti dehidrasi, keletihan dan daya tumpu yang lemah sering disalah anggap sebagai kesan tekanan alam sekitar dan bukan masalah kesihatan serius.
“Tekanan alam sekitar termasuk dehidrasi dan daya tumpu yang lemah, sering mengaburi gejala kekurangan adrenal.
“Simptom kekurangan adrenal adalah tidak spesifik dan ia boleh menyebabkan penurunan berat badan, loya, muntah, ketidakselesaan perut, keletihan dan kekeliruan.
“Itu menjadikannya sukar untuk dibezakan antara keletihan biasa dan masalah adrenal yang lebih serius,” katanya.
Beliau menyarankan supaya individu yang mengalami gejala berterusan untuk menjalani ujian sewajarnya bagi memastikan diagnosis tepat pada masanya selain membantu pengurusan masalah itu dengan lebih berkesan.
“Alat diagnostik utama ialah Ujian Synacthen Pendek yang dapat menilai sejauh mana kelenjar adrenal bertindak balas terhadap rangsangan.
“Ujian ini membabitkan pemberian hormon adrenokortikotropik (ACTH) sintetik untuk merangsang kelenjar adrenal.
“Bagi mereka yang mengalami kekurangan adrenal, kelenjar adrenal gagal menghasilkan kortisol yang mencukupi sebagai tindak balas kepada rangsangan ini,” katanya.
Meskipun ketika ini masalah kelenjar berkenaan tidak dapat diubati, namun ia masih boleh diurus dengan efektif.
“Tanpa rawatan, kekurangan adrenal boleh menyebabkan krisis adrenal yang mengancam nyawa apabila badan tidak dapat menghasilkan hormon yang mencukupi dan ia boleh membawa maut.
“Ia kemudian menjadi rawatan cemas perubatan dan pesakit perlu diberikan hidrokortison dengan segera.
“Pesakit mungkin berada dalam keadaan koma dan sekiranya tidak mendapat rawatan sehingga 20 peratus. Pesakit yang terkejut berisiko berdepan kematian akibat krisis adrenal.
“Berlainan jika diurus dengan baik, komplikasi seperti gejala serius akibat pengaruh cuaca persekitaran dapat ditangani.
“Sebaik-baiknya setiap orang perlu membawa sebotol air bersama mereka dan memastikan diri sentiasa kekal terhidrat terutama dalam keadaan cuaca panas dan lembap,” katanya.
Bagi meningkatkan lagi pengurusan masalah kekurangan adrenal, orang ramai perlu menepis salah tanggap berkenaan penyakit dan rawatan menangani penyakit terbabit.
Antaranya, tanggapan fungsi adrenal boleh kembali pulih selepas diagnosis kegagalan adrenal primer adalah kurang tepat.
Pakar itu menjelaskan bahawa, kegagalan adrenal primer tidak dapat dipulihkan dan kelenjar adrenal tidak berupaya untuk kembali menghasilkan hormon.
“Cuma dalam kes kekurangan adrenal sekunder ada peluang tipis iaitu kira-kira satu daripada enam untuk fungsi adrenal mungkin pulih, namun ia boleh mengambil masa sehingga lima tahun.
“Mitos lain ialah hidrokortison dianggap suplemen, tapi sebenarnya ubat yang diperlukan untuk menggantikan hormon yang tidak dapat dihasilkan oleh badan selain penting bagi mengawal tekanan darah serta bertindak balas terhadap tekanan,” katanya.
Pesakit tidak boleh menghentikan penggunaannya tanpa berbincang dengan penyedia penjagaan kesihatan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd