Sepang: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) belum menerima sebarang permintaan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berhubung beberapa insiden gangguan Aerotrain sejak Julai lalu.
Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Izani Ghani, berkata sebagai agensi yang berkaitan dengan kerajaan, MAHB juga bersedia untuk bekerjasama apabila ia diperlukan.
Ia susulan laporan media sebelum ini SPRM akan menjalankan siasatan projek Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sekiranya wujud unsur rasuah dan penyelewengan.
“Saya belum menerima sebarang permintaan daripada mereka untuk masuk (menyiasat).
“Sebagai sebuah agensi yang berkaitan dengan kerajaan, kami bersedia untuk bekerjasama dengan agensi berkenaan,” katanya pada sidang media selepas taklimat mengenai Pelan Tindakan Komprehensif bagi Aerotrain KLIA, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata SPRM akan menjalankan siasatan terhadap projek Aerotrain, namun mengesahkan, setakat ini tiada sebarang kertas siasatan dibuka oleh pegawai siasatan berhubung projek itu yang menelan belanja ratusan juta ringgit.
Ditanya jika MAHB menerima tekanan untuk mengawalkan garis masa operasi Aerotrain dari Disember ke Julai, Mohd Izani berkata sebenarnya pengendali lapangan terbang itu berjaya menyiapkan projek berkenaan, sekali gus menyangkal dakwaan pengoperasian kemudahan itu dibuat awal kerana Sidang Kemuncak ASEAN.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan sistem itu mampu dimulakan lebih awal daripada tarikh pelancaran semula operasinya pada Disember ini.
“Akhirnya, kami berjaya menunaikannya. Dan hari ini, kami mengadakan taklimat pelan tindakan komprehensif (CAP) untuk memastikan semua isu dapat ditangani supaya kami dapat memasuki tahun baharu dengan kebolehpercayaan sistem tren yang lebih baik dan menyeluruh,” katanya.
Terdahulu, Mohd Izani berkata, CAP yang akan dimulakan esok sehingga 15 Disember ini, dilaksanakan dalam Tempoh Liabiliti Kerosakan (DLP), bermula 1 Julai 2025 sehingga 30 Jun 2027, bertujuan meningkatkan kebolehpercayaan sistem berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




