Gangguan bekalan air 80 peratus pulih

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

KUALA LUMPUR: Pemulihan bekalan air di 13 kawasan sekitar ibu kota yang terjejas ekoran kejadian paip pecah di Jalan Kuari, Kuala Lumpur semalam telah mencapai 80 peratus setakat jam 7 malam ini.

Bagaimanapun, Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, memaklumkan pemulihan sepenuhnya bekalan air ke kawasan yang terjejas dijangka mengalami kelewatan daripada masa yang dijadualkan.

“Tempoh pemulihan sepenuhnya bekalan air ke kawasan terjejas ialah pada jam 6 pagi 11 Jun 2021.

“Kelewatan pemulihan bekalan air ini disebabkan masalah teknikal di Rumah Pam Perkuat Kuari dan menyebabkan paras kolam masih belum mencapai tahap optimum. Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bekalan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bantuan bekalan air melalui lori tangki akan terus digerak ke kawasan yang masih terjejas.

Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka ketika mendapatkan bekalan air daripada lori tangki.

Untuk maklumat lanjut dan status terkini bekalan air, pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti laman sesawang www.airselangor.com, aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

– BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd