am@hmetro.com.my
Shah Alam: Gangguan bekalan air akibat pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah susulan kebocoran tangki sebuah kilang plastik di Kuang yang menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas dijangka pulih sepenuhnya Jumaat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Selangor, Izham Hashim berkata, ini berikutan keempat-empat LRA berkenaan iaitu Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (SSP1, SSP2 serta SSP3) sudah kembali beroperasi sepenuhnya bermula jam 3 petang.
Menurutnya, LRA Rantau Panjang dan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (SPP1, SSP2 dan SPP3) beroperasi selepas bacaan 0 ton dicatatkan tiga kali berturut-turut.
“Pengagihan air membabitkan LRA Rantau Panjang mula dilaksanakan mulai 6 petang, manakala tiga SSP berkenaan pula pada 8 pagi esok.
“Kawasan kediaman yang mempunyai tekanan air rendah mungkin mengambil sedikit masa namun sebahagian besar pengguna akan mendapat bekalan air dalam tempoh 24 jam.
“Seperti biasa, proses pengagihan itu akan dijalankan secara berperingkat mengikut kawasan dan dijangka selesai sepenuhnya pada Jumaat ini,” katanya dalam sidang media khas di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sini, malam ini.
Beliau berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap kilang pemprosesan plastik dan pepejal yang dikenal pasti menyebabkan pencemaran bau sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual.
“Ia berikutan kebocoran tangki yang berlaku di premis itu menyebabkan bahan pencemar berjadual Poly Methacrylic Acid (PMAA) mengalir ke tiga batang sungai.
“Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor turut sudah mengambil tindakan termasuk mengeluarkan kompaun kepada pemilik kilang berkenaan.
Pada masa sama katanya, JAS dan Luas akan meneruskan pemantauan di lokasi terbabit esok bagi memastikan pencemaran tidak berulang.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin mengesahkan kejadian pencemaran bau seakan asid di udara dan aliran berbuih di Sungai Kuang dikesan di Jalan Kampung Orang Asli, Kuang sekitar jam 3.30 petang semalam.
Pencemaran bahan terjadual, PMAA akibat kebocoran tangki sebuah kilang plastik di Kuang dikenal pasti menjadi punca empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas.
Insiden menyebabkan lebih 1,000 kawasan membabitkan daerah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor terjejas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




