bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan elektrik membabitkan 14,000 pengguna berikutan kebakaran sebahagian kabel di Pencawang Pembahagi Utama (PPU) Puncak Alam, awal pagi tadi, pulih sepenuhnya jam 3.40 petang tadi.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan hari ini, berkata pihaknya segera menggerakkan pasukan teknikal bagi memulihkan gangguan bekalan elektrik sebaik dimaklumkan mengenainya.
Katanya, majoriti daripada 14,000 pengguna yang terbabit, mendapat semula bekalan elektrik seawal jam 6.29 pagi melalui suabalik sistem Grid.
“Bekalan elektrik kemudian pulih secara berperingkat menerusi set janakuasa bergerak dengan pengguna terakhir menerima bekalan pada jam 3.40 petang tadi.
“Punca kebakaran yang menyebabkan kehilangan beban sebanyak 12.15 megawatt (MW) itu masih disiasat dan TNB memohon maaf atas kesulitan yang timbul,” katanya.
Sebanyak lapan kawasan di sekitar Klang, Selangor, mengalami gangguan bekalan elektrik susulan kebakaran yang berlaku pada jam 4.24 pagi itu termasuk Taman Alam Suria, Bandar Puncak Alam, Taman Alam Sutera dan Astana Alam 2.
Turut terjejas ialah pengguna di Bandar Hillpark, Kampung Bukit Hijau dan Pusat Komersil Eco Grandeur.
Untuk maklumat lanjut, pengguna dinasihatkan menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine.
© New Straits Times Press (M) Bhd




