Gangguan suami artis sudah berakhir – Athalia

Gangguan suami artis sudah berakhir – Athalia

Kuala Lumpur : Penyanyi dan pelakon, Athalia Deena Buswani mendedahkan, gangguan daripada seorang individu berstatus suami orang yang dialaminya sebelum ini kini sudah berakhir sepenuhnya.

Athalia, 23, yang juga anak kepada penyanyi Sharifah Zarina, meluahkan rasa syukur kerana situasi sukar yang pernah membuatkan hidupnya tidak tenang itu kini sudah selesai.

“Semuanya sudah selesai, boleh dikatakan sudah berakhir. Masa itu memang agak sukar kerana saya jadi tidak tenang, tetapi setakat ini semuanya sudah okey,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Athalia, individu terbabit tidak membuat sebarang permohonan maaf secara rasmi, namun dia percaya tindakan ibunya yang mengeluarkan kenyataan sebelum ini memberi kesedaran kepada pihak berkenaan.

“Dia tidak buat pengakuan bahawa itu dirinya, tetapi dia sudah tidak mengganggu lagi. Jadi saya rasa dia sedar dan faham situasi itu. Bagi saya, itu sudah cukup baik kerana dia sendiri berubah,” katanya.

Pelakon drama BF Green Flag itu menjelaskan bahawa gangguan berkenaan menjadi serius apabila perbualan yang mulanya sekadar bertanya khabar mengenai anak, bertukar menjadi ajakan untuk keluar berdua.

Meskipun isteri individu terbabit yang juga seorang artis masih tidak mengetahui perkara sebenar, Athalia tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyimpan bukti perbualan.

“Ketakutan terbesar adalah jika dia memadam mesej sebelah pihaknya. Jika itu berlaku, yang tinggal hanyalah mesej daripada saya dan ia boleh menampakkan seolah-olah saya yang memulakan perbualan.

“Nasib baik semua media mula melaporkan, saya terus ambil tangkapan layar (screenshot) perbualan itu, bimbang jika dia terasa dan memadam mesej,” katanya.

Terdahulu, pada Disember lalu, Sharifah Zarina memuat naik hantaran di Threads, memohon agar suami selebriti itu berhenti menghantar mesej kepada anaknya dan mengajak keluar bersama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top