Gangsa Olimpik Tokyo permulaan kejayaan Aaron-Wooi Yik

LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mahu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menjadikan kejayaan meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai pemangkin untuk mereka lebih berjaya pada kejohanan akan datang.

Chong Wei yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo berkata, gandingan beregu muda negara itu mempunyai masa depan yang cerah untuk melakar lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.

“Tahniah kepada pemenang pingat pertama Sukan Olimpik Tokyo kami, Aaron Chia Teng Fong Soh dan Soh Wooi Yik.

“Persembahan hebat di pentas terbesar. Ia tidak mudah kerana hanya anda sendiri yang tahu berapa banyak air mata, keringat dan darah yang anda tumpahkan untuk bendera di dada.

“Hayati detik ini, namun ia adalah permulaan untuk perjalanan yang lebih baik dan bukan kemuncak dalam karier anda,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya pada Ahad.

Pada Sabtu, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah tersendiri apabila meraih pingat gangsa selepas mengetepikan cabaran beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14.

Sebelum itu, Aaron-Wooi Yik berjaya menewaskan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo juga 21-14, 21-17 dalam aksi suku akhir.

“Melihat bendera Malaysia berkibar ketika majlis penyampaian pingat memberikan keterujaan kepada setiap penyokong Malaysia yang menyokong anda berdua.

“Kami memerlukan (kejayaan ini) pada ketika Malaysia sedang berhadapan dengan pelbagai krisis. Terima kasih kepada anda berdua. Saya bangga dengan anda. Malaysia bangga dengan anda hero Malaysia. #DemiMalaysia,” ujarnya.