am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) menawarkan ganjaran RM10,000 kepada mana-mana individu yang tampil memberi maklumat berhubung kes pembunuhan gajah pygmy Borneo di Sabah.
Menterinya, Datuk Seri Christina Liew berkata, maklumat berhubung kes itu penting bagi membantu pihak berkuasa sehingga dalang yang bertanggungjawab membunuh haiwan dilindungi itu ditangkap, didakwa dan disabitkan kesalahan di mahkamah.
Beliau merayu kepada saksi yang melihat pembunuhan gajah atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan supaya tampil bagi membantu siasatan.
“Kita memutuskan untuk menawarkan ganjaran RM10,000 ketika mesyuarat kementerian pada Rabu selepas kita dikejutkan dengan penemuan satu lagi bangkai gajah tanpa kepala, baru-baru ini.
“Ia kes ketiga sejak Januari tahun ini. Kita mahu bukti yang kukuh terhadap tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini.
“Sehubungan itu, kita meminta kerjasama orang ramai untuk membuat laporan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) dan polis, jika ada individu atau pihak yang menyaksikan mana-mana insiden terhadap gajah terbabit.
“Ini bagi memastikan kita dapat mendakwa pihak yang bertanggungjawab membunuh hidupan liar itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Minggu lalu, bangkai seekor gajah tanpa kepala ditemukan dekat kawasan hutan Tibow, Kalabakan, di Jalan Kalabakan – Sapulut, tidak jauh dari lokasi penemuan bangkai seekor gajah yang turut ditemukan tanpa kepala dekat Lembangan Maliau di jalan yang sama pada Januari lalu.
Gajah pgymy Borneo adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 yang memperuntukkan hukuman berat termasuk denda dengan jumlah yang besar, selain penjara jika sabit kesalahan jenayah terhadap hidupan liar yang dilindungi.
Ketika ini, dianggarkan populasi gajah pygmy Borneo di Sabah hanya kira-kira 1,500 hingga 2,000 ekor, menjadikannya hidupan liar yang semakin diancam kepupusan di negara ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd