Washington: Seorang pemandu penghantaran menerima AS$50 juta (kira-kira RM222.3 juta) kerana menang tuntutan di mahkamah selepas melecur teruk akibat minuman tertumpah di ribanya ketika membuat pesanan di restoran pandu lalu Starbucks di California, Amerika Syarikat (AS).
The Guardian melaporkan, juri daerah Los Angeles diberiatahu Michael Garcia, yang menjalani cantuman kulit dan prosedur lain pada alat kelaminnya selepas minuman teh bersaiz sederhana tumpah sejurus selepas mengambilnya pada 8 Februari 2020.
Menurut peguam belanya, Garcia mengalami kecacatan kekal dan ia mengubah hidupnya.
“Selepas dimasukkan ke hospital dan melakukan prosedur cantuman kulit, Michael hidup selama lima tahun dengan kecacatan, kesakitan, disfungsi dan kecederaan psikologi akibat melecur,” tulis peguamnya dalam satu hantaran di Instagram (IG).
Menurut peguamnya, Garcia melecur akibat salah satu daripada tiga minuman teh panas.
“Starbucks menawarkan AS$30 juta (kira-kira RM 133.4 juta) untuk penyelesaian tetapi mahu ia dirahsiakan.
“Kami bersetuju dengan bayaran AS$30 juta (kira-kira RM 133.4 juta) hanya jika Starbucks bersetuju untuk memohon maaf secara terbuka dan berjanji untuk mengubah dasar untuk mengelakkan perkara ini berulang,” tambah peguam Garcia.
Garcia mengemukakan tuntutan di mahkmaah susulan kecederaannya di Starbucks, dengan mengatakan bahawa seorang kakitangan tidak meletakkan teh panas itu dengan cukup kuat ke dalam bekas bawa pulang.
“Keputusan juri itu adalah langkah kritikal dalam memastikan Starbucks bertanggungjawab kerana mengabaikan keselamatan pelanggan dan kegagalan untuk menerima tanggungjawab.
“Kami berbangga dengan Garcia kerana membela dirinya dan mempunyai keberanian untuk menceritakan kisahnya,” kata salah seorang peguam Garcia, Nick Rowley, dalam satu kenyataan.
Starbucks bersimpati dengan Garcia, namun merancang untuk mengemukakan rayuan.
“Kami tidak bersetuju dengan keputusan juri bahawa kami bersalah atas insiden ini dan percaya ganti rugi yang diberikan adalah berlebihan,” kata syarikat berpangkalan di Seattle itu dalam satu kenyataan.
© New Straits Times Press (M) Bhd