Brasília: Seorang lelaki Brazil yang didakwa mencuri bola sepak mempunyai tandatangan Neymar dari bangunan Kongres semasa rusuhan pada tahun 2023 oleh penyokong bekas presiden, Jair Bolsonaro, dijatuhi hukuman penjara selama 17 tahun atas kesalahan itu dan beberapa pertuduhan lain.
Mahkamah Tinggi Brazil menjatuhkan hukuman terhadap Nelson Ribeiro Fonseca Junior, 34, atas kesalahan mencuri bola berkenaan.
Dia turut disabitkan atas kesalahan menggugat sistem demokrasi secara ganas, penyertaan dalam kumpulan jenayah bersenjata dan cubaan melakukan rampasan kuasa susulan pembabitannya dalam rusuhan besar-besaran di Brasília.
Lebih 500 individu sudah disabitkan bersalah berkaitan insiden pada 8 Januari 2023, apabila ribuan penyokong Bolsonaro menyerbu bangunan Kongres, Mahkamah Tinggi dan istana presiden sebagai protes terhadap kekalahannya bepada Presiden berhaluan kiri, Luiz Inacio Lula da Silva.
Ribeiro mengaku mencuri bola itu, yang adalah hadiah daripada kelab zaman kanak-kanak Neymar, Santos, kepada Dewan Perwakilan pada tahun 2012. Neymar kembali menyertai Santos tahun ini selepas beraksi di Eropah.
Peguam Ribeiro mendakwa anak guamnya menjumpai bola itu di lantai bangunan Kongres ketika kekecohan berlaku, mengambilnya untuk ‘melindungi’ harta itu dan menyerahkannya kepada pihak polis 20 hari kemudian.
Namun, Hakim Mahkamah Tinggi, Alexandre de Moraes menyatakan Ribeiro telah ‘secara aktif terbabit’ dalam serbuan dan kerosakan ke atas institusi-institusi penting negara seperti Kongres, Mahkamah Tinggi dan istana presiden.
Moraes turut menyifatkan bola berkenaan – yang dipamerkan di salah satu koridor bangunan Kongres – sebagai ‘harta awam milik warisan rakyat Brazil’.
Rusuhan itu berlaku seminggu selepas Lula mengangkat sumpah sebagai Presiden Brazil, selepas menewaskan Bolsonaro secara tipis dalam pilihan raya Oktober 2022.
Penunjuk perasaan ketika itu mendesak campur tangan tentera untuk menggulingkan Lula.
Bolsonaro, bekas kapten tentera yang menjadi presiden dari 2019 hingga 2022, kini berdepan perbicaraan atas dakwaan merancang untuk merampas kuasa sekiranya Lula menang. Ketika rusuhan berlaku, beliau berada di Amerika Syarikat (AS).
Pihak pendakwaan mendakwa plot rampasan kuasa itu gagal kerana tidak mendapat sokongan tentera. Bagaimanapun, Bolsonaro menafikan semua pertuduhan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd