Gara2 jadikan anak sebagai testimoni produk, ‘founder’ kecantikan dikritik

Gara2 jadikan anak sebagai testimoni produk, ‘founder’ kecantikan dikritik

Umum mengetahui wanita dan kecantikan sememangnya tidak dapat dipisahkan dan sanggup menghabiskan wang simpanan bagi mencuba pelbagai lambakan produk di pasaran.

Tidak kiralah jika masih muda atau tidak, pastinya kekal cantik dikatakan dapat membina keyakinan seseorang.

Baru-baru ini, seorang usahawan telah berkongsi sebuah video ‘testimoni’ bagi tujuan mempromosikan produk ‘pemutih’ kepada orang ramai mengenai keberkesanan penggunaannya terhadap mereka.

Menerusi video yang dimuat naik oleh Ericya Baiduri, kelihatan dia sedang menunjukkan perbezaan warna kulit anaknya sebelum dan selepas menggunakan produk keluarannya.

Ini dapat dilihat apabila dia membuat perbandingan selepas tiga tahun anaknya yang bernama Zahra itu mengamalkan produk tersebut.

Walau bagaimanapun, perkongsian oleh pengasas tersebut menerima kritikan di kalangan warganet yang rata-ratanya kesal melihat wanita itu mengajar kanak-kanak di usia masih mentah. Mereka berpandangan bahawa ia akan merosakkan buah pinggang anak tersebut pada masa akan datang.

Selain itu, terdapat warganet kesal kerana anak kecil itu sudah ‘diasuh’ dan ‘dididik’ bahawa seseorang berkulit hitam itu tidak cantik.

Di samping itu, ada yang meluahkan kekecewaan apabila melihat anak tersebut dijadikan sebagai ‘testimoni’ dan melihat anak kepada pengasas kurang berkeyakinan semasa dalam siaran langsung.

Pada pandangan orang ramai, ia adalah normal jika warna kulit kanak-kanak seusia itu gelap kerana mereka sedang membesar dan berada di fasa mahu mencuba pelbagai aktiviti.

Sumber: Facebook Eriyca Baiduri

Scroll to Top