am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beberapa individu dipercayai peserta Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) ditahan di hadapan Kompleks Membeli Belah Sogo di sini, malam ini.
Difahamkan individu berkenaan didakwa cuba melakukan provokasi ketika dihampiri pihak berkuasa yang pada awalnya memberi nasihat kepada mereka.
Sementara itu, difahamkan sekurang-kurangnya enam individu termasuk penyelaras perhimpunan terbabit, Zamri Vinoth turut ditahan.
Difahamkan, semua individu berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun setakat ini, tiada sebarang pengesahan mengenai perkara itu dan media masih menunggu pengesahan lanjut daripada pihak polis.
Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati ada beberapa individu dipercayai peserta himpunan berkenaan tetap hadir di lokasi biarpun pihak berkuasa menegaskan keputusan untuk tidak membenarkan perhimpunan itu dilaksanakan.
Setakat ini, berdasarkan pemerhatian tiada pihak penganjur di lokasi dan ketika ini juga keadaan di lokasi kembali tenang dan terkawal dengan pemantauan keselamatan oleh pihak polis.
Terdahulu media melaporkan, penyelaras Perhimpunan GARAH tetap berhasrat meneruskan perhimpunan di ibu kota, malam ini walaupun polis memutuskan tidak membenarkannya atas faktor keselamatan awam.
Pendirian itu disuarakan Zamri Vinoth menerusi beberapa hantaran di media sosial yang menegaskan perhimpunan berkenaan tetap dirancang berlangsung di perkarangan Kompleks Sogo pada 8 malam.
Dalam hantaran berkenaan, penganjur berhujah perhimpunan itu bersifat aman dan dijalankan selaras peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Akta Perhimpunan Aman, selain menyatakan tanggungjawab polis adalah memastikan keselamatan sepanjang perhimpunan berlangsung.
Bagaimanapun, sebelum itu Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus pada hari ini menegaskan keputusan untuk tidak membenarkan perhimpunan itu dibuat selepas pihaknya menjalankan risikan keselamatan dan mengambil kira maklum balas semua pihak berkaitan, termasuk pemilik premis di sekitar lokasi perhimpunan.
Menurut Fadil, polis turut menerima surat bantahan daripada pemilik premis Kompleks Sogo, Pertama Kompleks serta beberapa premis lain di sekitar lokasi perhimpunan yang menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pelanggan.
Katanya, kawasan berkenaan dijangka dipenuhi orang ramai yang hadir untuk membeli-belah sempena sambutan beberapa perayaan, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan sekiranya perhimpunan diteruskan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




