Garam sana sini! Ali Puteh tak kisah jadi bahan ketawa, dah pulangkan ‘barang’

Garam sana sini! Ali Puteh tak kisah jadi bahan ketawa, dah pulangkan ‘barang’

Nama pelawak Ali Puteh menjadi panas seperti pisang goreng ‘viral’ selepas mendakwa balu Allahyarham Abam Bocey iaitu Siti Norhidayah meninggalkan ‘barang’ di sekitar rumahnya.

Menurut pemilik nama Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, balu abangnya meninggalkan barang seperti garam kasar, limau, bangkai mengkarung dan lain-lain lagi dipercayai untuk upacara ritual tertentu.

Dakwaan itu dibuat selepas Siti Norhidayah atau mesra disapa Hidayah datang ke rumah peninggalan abangnya bersama peguam. Bagaimanapun, ramai mengatakan ia hanyalah ‘wayang’ semata-mata sehingga ia dijadikan bahan gelak tawa orang ramai.

Terbaharu, pelawak berusia 34 tahun itu memuat naik hantaran di laman Instagram pada pagi Sabtu dan tidak kisah sekiranya warganet menganggap taburan garam kasar dan bangkai mengkarung adalah lawak jenaka.

Katanya, mereka boleh menganggap ia adalah lawak kerana tidak berdepan dengan situasi berkenaan.

“Bergelak ketawa la dengan sindiran komen taburan garam, limau dan bangkai itu sebagai mainan. Ada yang mengejek ini sebagai jenaka.
“Ada yang komen ini rekaan. Siap tulis jangan lupa tambah garam dalam garam. Tidak kena pada anda semua.Kalau kena, pada yang komen itu semua tau la. Baru tau apa yang kami sekeluarga rasa. Ini barang jangan dibuat main,”ujarnya.

Dalam hantaran yang sama, Ali turut meninggalkan kata-kata kepada individu yang dipercayai menabur ‘barang’ berkenaan iaitu Hidayah dan berharap agar Allah SWT memberikan keampunan dengan perbuatan tersebut.

“Pada si penabur barang-barang itu.. jangan risau. Kita dah pulangkan barang kamu. Kita tak berminat dengan barang kamu.
“Semoga Allah berikan keampunan dengan apa yang telah dibuat,”tulisnya.

Hasil pemerhatian, Ali bertindak menutup ruangan komen hantaran tersebut yang berkemungkinan risau diserbu oleh warganet.

Semalam, Hidayah meluahkan rasa kecewa apabila kehadiran dirinya bersama keluarga dan peguam ke rumah peninggalan arwah suami di Gombak tidak disambut baik dan dibiarkan selama sejam.

Malah, Hidayah turut menggesa Ali untuk menyegerakan bayaran RM60,000 seperti yang diputuskan mahkamah pada 28 Disember tahun lalu berhubung keputusan rayuan kes saman fitnah.

Selain itu, Hidayah juga meminta Ali menyerahkan kunci rumah berkenaan kepada dirinya.

Sumber: YouTube , Instagram @aliputeh_official, @hidayah_hamzahh