Barcelona: Ketua jurulatih Barcelona, Hansi Flick tidak menyembunyikan rasa kagumnya terhadap penjaga gol, Joan Garcia selepas bekas pemain Espanyol itu menjadi watak utama kemenangan 2-0 ke atas bekas kelabnya dalam aksi derbi Catalan, awal pagi tadi.
Garcia tampil cemerlang dengan beberapa aksi menyelamat penting yang memastikan Barca membawa pulang tiga mata berharga sekali gus mengukuhkan kedudukan di puncak LaLiga dengan 49 mata.
“Perkara pertama yang perlu saya lakukan adalah mengucapkan terima kasih kepada Joan Garcia. Dia adalah antara penjaga gol terbaik dunia,” kata Flick kepada media selepas perlawanan. Jurulatih dari Jerman itu mengakui pasukannya berdepan tekanan hebat sepanjang perlawanan, namun ketenangan Garcia di gawang menjadi kunci kejayaan Barcelona.
“Kami menderita dalam perlawanan ini, tetapi kami meraih tiga mata. Itu mesej penting yang kami hantar kepada LaLiga,” katanya.
Flick turut memuji kekuatan mental penjaga gol berusia 24 tahun itu yang kembali ke Stadium RCDE dalam suasana penuh tekanan selepas meninggalkan Espanyol untuk menyertai Barcelona.
“Luar biasa. Dia tidak akan melupakan apa yang berlaku di sini kerana Espanyol adalah kelab yang memberinya peluang. Kini dia bersama kami dan menjadi salah satu sebab utama kemenangan ini,” katanya.
Garcia menerima sorakan sinis daripada penyokong tuan rumah sejak sesi pemanas badan, termasuk paparan sepanduk menghina dan wang palsu bergambar wajahnya, namun Flick berkata pemainnya langsung tidak terganggu.
“Saya bercakap dengannya sebelum perlawanan. Dia tenang seperti biasa, fokus dan yakin. Pasukan hebat memerlukan penjaga gol hebat dan dia salah seorang daripadanya,” kata Flick.
Sementara itu, pengendali Espanyol, Manolo Gonzalez enggan mengulas prestasi Garcia meskipun pasukannya mencipta beberapa peluang jelas sepanjang perlawanan.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai Joan. Apa sahaja yang saya katakan akan diputar belit. Kami sangat hampir untuk menang dan kemenangan itu terlepas,” katanya.
Kemenangan itu memberi suntikan moral kepada Barcelona menjelang aksi Piala Super Sepanyol menentang Athletic Bilbao, Rabu ini.
“Ia bukan perlawanan mudah selepas rehat Krismas, tetapi kemenangan ini akan meningkatkan keyakinan kami,” kata Flick.
© New Straits Times Press (M) Bhd



