Skopje: Barisan pertahanan Belgium menerima kritikan selepas gagal mengekalkan kelebihan dan sekadar seri 1-1 menentang Macedonia Utara dalam aksi pembukaan kelayakan Piala Dunia, awal pagi tadi.
Skuad bimbingan Rudi Garcia, yang kini dalam aksi ketiganya sebagai pengendali, hampir membawa pulang tiga mata penuh dari Skopje namun dibolosi gol penyamaan pada minit ke-86, selepas tuan rumah terlebih dahulu dua kali menggegarkan palang dan melihat satu jaringan dibatalkan menerusi semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Media Belgium menyifatkan keputusan seri itu sebagai ‘nasib baik’, sambil menyifatkan persembahan skuad ‘Red Devils’ agak mengecewakan.
Bagaimanapun, Garcia enggan menyalahkan benteng pertahanannya dan menegaskan beliau tetap akan meletakkan kepercayaan terhadap mereka menjelang aksi penting menentang Wales di Brussels, Selasa ini.
“Ia soal kepercayaan. Pertahanan kami perlukan itu. Saya tidak mahu menuding jari, kerana dari segi serangan pun kami sepatutnya mampu lakukan lebih,” kata Garcia kepada media.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan menukar formasi atau sistem bertahan selepas pasukan itu turut bolos tiga kali menentang Ukraine dalam playoff Liga Negara-Negara pada Mac lalu, Garcia menegaskan tiada keperluan untuk panik.
“Itu bukan penyelesaiannya. Ia bukan tentang sistem, tetapi kepercayaan kepada pemain pertahanan kami.”
Belgium pilihan utama untuk layak secara automatik sebagai juara kumpulan, namun kini ketinggalan selepas Wales mengutip tujuh mata dalam tiga aksi awal.
Garcia turut menyenaraikan beberapa faktor yang menyumbang kepada prestasi kurang meyakinkan di Skopje.
“Keadaan panas juga beri kesan. Tapi bila kita sudah mendahului 1-0, kita tidak boleh melepaskannya. Kami banyak membuat keputusan yang salah, terutama hantaran terakhir.”
Keputusan untuk mengeluarkan kapten Thomas Meunier dan tonggak utama Kevin De Bruyne seawal babak kedua juga menimbulkan tanda tanya.
Garcia bagaimanapun menjelaskan keputusan itu dibuat berdasarkan faktor fizikal dan pengurusan skuad.
“Meunier sudah menerima kad kuning dan saya perlukan dia untuk perlawanan Isnin kerana saya hanya ada satu bek kanan.
“Untuk De Bruyne pula, bermain 90 minit dua kali dalam masa tiga hari terlalu berat. Tapi secara fizikal, selepas pertukaran, kami kembali menguasai perlawanan,” jelasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




