Miami: Pemain golf Sepanyol, Sergio Garcia, menandatangani lanjutan kontrak beberapa tahun bersama LIV Golf dan akan kembali menggalas peranan sebagai kapten Fireballs GC.
Perkembangan itu hadir selepas Garcia tidak memperbaharui keahlian Jelajah Dunia DP bagi musim 2026.
Garcia bakal memimpin pasukan Sepanyol pertama liga itu yang turut dibarisi David Puig, Josele Ballester dan Luis Masaveu.
Masaveu menggantikan pemain Mexico, Abraham Ancer, yang berpindah ke pasukan Torque GC bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Mito Pereira yang tersingkir.
“Kembali bersama Fireballs GC dan LIV Golf mengukuhkan segala yang sedang kami bina,” kata Garcia dalam satu kenyataan.
“Dengan David dan Josele mempamerkan prestasi baik pada 2025 serta Luis menyertai pasukan pada 2026, identiti dan kelebihan daya saing kami kini lebih kukuh, berteraskan kebanggaan, tujuan serta hubungan emosi kolektif terhadap sukan golf.
“LIV Golf terus menetapkan rentak di peringkat global dan saya komited memimpin kumpulan ini untuk terus melangkah ke depan serta menaikkan standard.”
Garcia, 45, merangkul gelaran kejohanan LIV Golf keduanya musim lalu selepas muncul juara di Hong Kong.
Juara Masters 2017 itu menamatkan saingan individu di kedudukan kesembilan, manakala Fireballs GC berada di tempat ketiga kedudukan berpasukan.
LIV Golf akan membuka musim 2026 di Riyadh, Arab Saudi dari 4 hingga 7 Februari, dengan liga itu beralih daripada format 54 lubang kepada 72 lubang pada musim kelima penganjuran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




