Garden 8 rapatkan hubungan kejiranan Taman Perwira

Garden 8 rapatkan hubungan kejiranan Taman Perwira

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Gombak: Jiran sepakat membawa berkat. Itu tagline kejiranan Taman Perwira, di sini, yang mengusahakan Kebun Komuniti Garden 8 di lorong belakang rumah membabitkan 44 kediaman sejauh 200 meter sejak September 2021.

Usaha berkenaan bukan saja mewujudkan kebun kejiranan lestari di bandar malah menggalakkan gaya hidup sihat yang memanfaatkan ruang belakang rumah yang terbiar sekali gus mengeratkan interaksi sosial dan silaturahim kejiranan.

Wakil penduduk, Aida Haniza Adnan, 56, berkata, projek itu bermula dengan lapan rumah dan kini berkembang sehingga keseluruhan lorong membabitkan dua blok perumahan dengan komitmen penduduk yang baik serta saling bekerjasama.

Menurutnya, mereka mempunyai lebih 100 tanaman pelbagai jenis sayuran, herba dan bunga selain turut menyediakan tempat untuk kanak-kanak bermain permainan tradisional seperti teng-teng, batu seremban dan dam serta kolam ikan.

“Pembabitan penduduk sangat baik dan ia membabitkan lelaki dan wanita pelbagai peringkat umur yang masih bekerja dan sudah pencen. Garden 8 ada lima fasa dibangunkan secara berperingkat dan semua kerja dilakukan secara bekerjasama.

“Setiap fasa ada tempat santai dan hampir setiap hari kami akan bersantai di sini, kadang-kadang minum pagi dan petang bersama di sini sambil uruskan tanaman. Jadi hubungan antara penduduk semakin erat dan baik seperti keluarga.

“Setakat ini antara tanaman yang ada seperti kubis, petola, kacang panjang, daun kesom, ulam raja, kemangi, temu, halia, cekur, kunyit, bunga ros, bunga raya dan bunga air mata pengantin,” katanya ketika ditemui di Garden 8, di sini.

Katanya, hasil tanaman itu untuk kegunaan sendiri dan jika ada lebihan akan dijual kepada penduduk setempat selain mereka juga menganjurkan jualan pada Pasar Ahad setiap Ahad terakhir setiap bulan.

“Hasil jualan akan dimasukkan dalam tabung kebun untuk aktiviti dan mengekalkan pelaksanaan kebun. Sejak kebun ini diwujudkan kami sudah menerima lebih 5,000 pelawat dalam dan luar negara,” katanya.

Sementara itu, Mazwin Jamaluddin, 65, berkata, sejak kebun itu diwujudkan hubungan antara jiran semakin rapat dan mereka saling mengenali serta menghabiskan masa bersama.

“Kalau dulu kita tak berapa kenal jiran, kadang-kadang hanya cam muka saja tetapi tak tahu nama. Kalau balik kerja sapa-sapa macam itu saja tetapi sekarang kita sudah kenal rapat dan hubungan juga erat seperti keluarga.

“Cucu juga selalu bermain di lorong belakang rumah daripada habiskan masa dengan gajet, mereka bermain permainan di sini selain kami juga boleh berkebun menjadikan kesihatan lebih baik bukan saja fizikal tetapi mental juga,” katanya.

Projek Garden 8 juga mendapat kelulusan dan sokongan daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan kebun itu juga aktif menyertai pertandingan serta turut memenangi beberapa pertandingan dan menerima anugerah termasuk Anugerah Kebun Komuniti Terbaik MPS 2021/2022.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top