lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan Malaysia meletakkan ‘garis merah’ dalam mempertahankan aspek halal ketika berdepan rundingan tarif dengan Amerika Syarikat (AS) adalah satu langkah yang tepat, strategik dan perlu dipertahankan.
Profesor Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zaid Ahmad berkata, pendirian tegas itu selari dengan dasar luar negara yang sentiasa berpegang kepada prinsip tidak berkompromi dalam perkara membabitkan kepentingan nasional.
“Saya fikir itu satu tindakan yang bagi kita rakyat Malaysia, adalah tindakan yang betul dan perlu dipertahankan.
“Jangan sampai kita menggadaikan mana-mana prinsip disebabkan oleh kita berkehendakkan sesuatu daripada orang lain,” katanya kepada Harian Metro.
Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, isu halal menjadi salah satu ‘garis merah’ dengan AS perlu mengikut ketetapan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Beliau dilaporkan berkata, Malaysia tegas memastikan segala dasar utama, termasuk berkaitan pemilikan, perolehan dan kedaulatan dasar perdagangan, dipertahankan dalam semua rundingan, bukan sahaja dengan AS tetapi juga dengan syarikat antarabangsa.
Mengulas lanjut, Zaid berkata, walaupun berdepan dengan blok ekonomi yang besar, Malaysia tidak perlu bimbang kerana pendirian negara yang berdaulat dan tidak memihak kepada mana-mana blok sudah ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pelbagai forum antarabangsa.
“Kita adalah sebuah negara yang berdaulat dan kita tidak kompromi dalam soal itu.
“Kita mengambil pendekatan untuk berbaik-baik dengan mereka yang bersedia untuk berurusan dengan kita.
“Jadi, tak timbul soal siapa nak menekan siapa,” katanya.
Mengulas mengenai potensi Amerika Syarikat meminta Malaysia mengiktiraf badan pensijilan halal mereka, Zaid berkata, ia tidak boleh dibuat secara paksaan.
“Kalau nak minta pengiktirafan, kita kena mengkaji dulu sama ada kita boleh beri pengiktirafan atau tidak, sama seperti mana-mana negara lain juga.
“Sijil halal ini soal agama, soal hukum. Mana-mana agensi yang ingin mengeluarkan sijil halal haruslah mendapat pengiktirafan daripada agensi yang mengawal selia, contohnya kalau di negara kita, harus melalui JAKIM. Amerika Syarikat tak boleh paksa (kita terima pensijilan halal mereka),” tegasnya.
Beliau turut bersetuju bahawa penetapan ‘garis merah’ ini adalah satu langkah strategik untuk menghalang potensi campur tangan luar ke dalam aspek kenegaraan yang sensitif pada masa akan datang.
“Kita maklumkan awal-awal ini adalah ‘garis merah’, jadi negara lain sudah tahu. Jadi, dia tak akan berunding perkara itu. Ini lebih senang untuk berunding,” katanya.
Justeru, beliau menyokong penuh pendirian kerajaan dan menyeru agar seluruh rakyat Malaysia bersatu dalam memastikan prinsip negara sentiasa dipertahankan dalam mana-mana perundingan di peringkat antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd