Garis panduan ESG bagi PMKS dilancarkan November depan

Garis panduan ESG bagi PMKS dilancarkan November depan

BAYAN LEPAS – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan menyediakan satu garis panduan pelaporan pematuhan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, ia sebagai usaha mengenal pasti kriteria-kriteria asas bagi menerapkan amalan ESG dalam kalangan PMKS dalam negara.

Jelas beliau, pihaknya juga akan bekerjasama dengan SME Corporation Malaysia (SME Corp) untuk menyediakan garis panduan tersebut.

Ewon.

“Kelmarin telah ada satu sesi meja bulat antara kita dan juga pihak industri berkaitan berhubung penerapan amalan ESG dalam kalangan PMKS di Malaysia.

“Kebanyakan mereka yang hadir telah menyuarakan keperluan untuk menyediakan satu pelaporan ESG bagi PMKS dan ia kini sedang disediakan oleh kita dengan kerjasama SME Corp.

“Kita juga bercadang akan membentangkan dalam mesyuarat sebelum melancarkan pada majlis Pembangunan PMKS Kebangsaan yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada November depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Siri Kelestarian PMKS 2023: Melakar Laluan ESG untuk PMKS & Pemadanan Perniagaan bagi Industri Berpertumbuhan Tinggi di Arena Spice di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan SME Corp dalam usaha meningkatkan akses pembiayaan PMKS.

Hadir sama, Pengerusi SME Corp, Tan Sri Bernard Giluk Dompok dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy.

Tambah beliau, pihaknya yakin pengadaptasian amalan ESG memberi peluang bagi PMKS menembusi pasaran yang lebih luas.

“Pelaksanaan itu juga membolehkan usahawan menembusi rantaian bekalan firma besar dan syarikat multinasional di negara Eropah serta Amerika Syarikat yang telah menetapkan keperluan kepatuhan ESG untuk pemasaran pembekalan produk serta perkhidmatan,” katanya. – MalaysiaGazette