London: Pemain sayap Argentina, Alejandro Garnacho akhirnya membuka mulut mengenai penamat kariernya bersama Manchester United apabila mengakui tindakannya sendiri menjadi antara punca dia meninggalkan kelab itu.
Garnacho yang menyertai Chelsea menerusi perpindahan bernilai £40 juta (RM300 juta) pada musim panas lalu mengakui detik perpisahannya di Old Trafford adalah pengalaman yang cukup menyakitkan.
Tempoh pemain berusia 21 tahun itu di Manchester berakhir dalam suasana tegang susulan keretakan hubungan dengan bekas pengurus, Ruben Amorim.
Situasi itu menyaksikan Garnacho menjadi antara individu yang mencetuskan ketegangan dalam bilik persalinan apabila kerap meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial sehingga memaksa pihak kelab meluluskan penjualannya ke Stamford Bridge.
Mengimbas kembali detik dia diketepikan sebelum berhijrah ke London, Garnacho mengakui dia turut memainkan peranan dalam mewujudkan suasana negatif berkenaan.
“Saya ingat dalam enam bulan terakhir, saya tidak bermain seperti sebelum ini di Manchester United. Saya mula berada di bangku simpanan, ia bukan perkara buruk kerana saya baru berusia 20 tahun, tetapi dalam fikiran saya, saya perlu bermain setiap perlawanan.
“Mungkin juga salah saya, saya mula melakukan beberapa perkara yang tidak baik. Namun, ini adalah satu fasa dalam hidup dan kadang-kadang kita perlu membuat keputusan. Saya bangga berada di sini dan masih beraksi dalam Liga Perdana Inggeris bersama kelab seperti ini,” katanya.
Kemelut itu turut diperbesarkan dengan laporan isu disiplin yang menjejaskan musim terakhirnya di bawah kendalian Amorim.
Walaupun perpisahan itu berlaku dalam keadaan kurang harmoni, termasuk tindakan abangnya membuat kenyataan berbaur provokasi di media sosial serta Garnacho dilihat seolah-olah menyindir kelab dengan memakai jersi Marcus Rashford bersama Aston Villa, pemain itu menegaskan dia tidak menyimpan sebarang dendam terhadap United.
“Saya tahu kemampuan pasukan ini dan apa yang boleh kami lakukan. Ada masa prestasi naik dan turun, tetapi saya bangga berada di sini ketika ini. Kehidupan di sini normal dan saya gembira.
“Di United, saya tiada apa-apa perkara buruk untuk diperkatakan mengenai kelab atau rakan sepasukan. Ia hanya satu fasa yang mengubah hidup saya. Hidup saya tetap diteruskan dan saya perlu pandang ke hadapan,” katanya lagi.
Ditanya sama ada pemergiannya dari Old Trafford memberi kesan kepadanya, Garnacho tidak menafikannya.
“Ya, mungkin kerana saya sangat menyayangi kelab itu. Mereka memberi kepercayaan kepada saya sejak awal, dari Sepanyol hingga ke akademi dan seterusnya ke pasukan utama.
“Sepanjang empat atau lima tahun, saya menerima sokongan hebat daripada semua pihak termasuk penyokong dan suasana stadium. Semuanya sangat baik.
“Namun, kadang-kadang kita perlu berubah demi kebaikan hidup atau langkah seterusnya. Saya hanya ada kenangan indah bersama Manchester United,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




