Gas kekal sumber tenaga utama yang relevan dan kritikal

Gas kekal sumber tenaga utama yang relevan dan kritikal

hazwanfaisal@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Gas kekal sebagai sumber tenaga utama yang relevan dan kritikal di Asia dalam menghadapi peralihan tenaga global, meskipun wujud desakan terhadap penggunaan sumber tenaga boleh baharu yang semakin meluas.

Naib Presiden Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif, Gas dan Maritim PETRONAS, Datuk Adif Zulkifli berkata, gas menawarkan kestabilan serta keselamatan tenaga yang belum dapat ditandingi oleh sumber tenaga boleh baharu, khususnya dalam memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat di rantau Asia.

“Gas mempunyai kelebihan tersendiri. Ia bukan sahaja stabil dan selamat, malah mampu memenuhi keperluan tenaga secara mampan. Ketika ini, sumber gas amat melimpah, termasuk dari Amerika Syarikat, Kanada dan Alaska.

“Teknologi gas asli cecair (LNG) juga telah berkembang pesat, menjadikan akses kepada gas lebih mudah dan mencipta peluang besar kepada pasaran Asia yang sangat memerlukan bekalan tenaga yang konsisten,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel pada sesi Dialog Kepimpinan: Gas & LNG – Pelaburan untuk Jangka Panjang, sempena Persidangan Energy Asia 2025 di sini, hari ini.

Adif menegaskan bahawa negara-negara Asia perlu menggubal dasar tenaga yang lebih pragmatik, mengambil kira keperluan sebenar dan kadar pembangunan berbeza setiap negara, meskipun semuanya komited terhadap sasaran pelepasan karbon sifar bersih.

“Dalam peralihan tenaga, gas mempunyai ruang besar untuk menggantikan penggunaan arang batu, sekali gus menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon secara berperingkat,” katanya.

Menurutnya, ekonomi seperti Malaysia, Vietnam dan China telah lama bergantung kepada gas domestik, namun rizab sedia ada semakin berkurangan, menjadikan keperluan untuk mengimport LNG sebagai penyelesaian jangka panjang yang semakin mendesak.

“Gas tidak akan sampai kepada pengguna tanpa infrastruktur seperti terminal regasifikasi. Di China sahaja, hampir 50 juta tan kapasiti sedang dibina. Thailand sedang membangunkan terminal ketiga, manakala Malaysia turut berada dalam fasa pengembangan infrastruktur sama,” katanya.

Mengulas lanjut, Adif menekankan bahawa pembiayaan memainkan peranan penting dalam menjayakan projek berkaitan gas secara menyeluruh.

“Kita perlu gabungkan pelbagai bentuk pembiayaan termasuk pembiayaan hijau dan pelaburan strategik. Pendekatan ini penting untuk memastikan potensi gas sebagai sumber tenaga utama masa depan dapat direalisasikan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif ConocoPhillips, Ryan Lance, menyuarakan keyakinan terhadap masa depan sektor LNG dan komited untuk terus membangunkan projek baharu.

Menjawab soalan berhubung trend semasa pasaran LNG, beliau berkata pelanggan kini cenderung mahukan fleksibiliti termasuk kontrak jangka pendek serta pilihan destinasi penghantaran.

“Namun persoalannya, sejauh mana pemain industri bersedia menawarkan fleksibiliti ini masih belum dapat dipastikan. Apa yang jelas, pilihan sebegitu penting untuk mengakses peluang dalam pasaran pengimport utama di seluruh dunia,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa walaupun terdapat turun naik dalam harga LNG, unjuran jangka panjang terhadap struktur harga kekal positif, menjadikan LNG kekal menarik dari sudut pelaburan jangka panjang.

Persidangan Energy Asia 2025 menjadi platform penting menghimpunkan pemimpin industri, pelabur dan pembuat dasar dalam merangka hala tuju strategik bagi menjamin kelestarian dan keselamatan tenaga serantau dalam era peralihan tenaga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top