Monza: Pemandu Perancis, Pierre Gasly sah melanjutkan kontraknya bersama pasukan Alpine hingga penghujung musim 2028, umum pasukan Formula Satu (F1) milik Renault itu pada Grand Prix (GP) Itali, hari ini.
Gasly, yang menyertai Alpine pada 2023, menjadi penyumbang tunggal 20 mata pasukan musim ini selepas 15 pusingan daripada 24, dengan keputusan terbaik tempat keenam di GP Britain.
Alpine kini menghuni tangga tercorot dalam kedudukan konstruktor.
Pemenang perlumbaan di GP Itali 2020 bersama AlphaTauri itu menyifatkan sambungan kontrak sebagai sesuatu yang cukup istimewa, lebih-lebih lagi kerana mewakili jenama automotif Perancis.
“Saya gembira dapat komited jangka panjang bersama Alpine. Sebagai rakyat Perancis, memandu untuk syarikat kereta Perancis adalah satu kebanggaan. Saya yakin inilah pasukan yang tepat untuk masa depan,” kata juara F2 2016 itu.
Gasly turut mengakui sokongan ketua pasukan, Flavio Briatore, komitmen Ketua Pegawai Eksekutif Renault yang baharu, Francois Provost serta seluruh kakitangan kilang menjadi faktor utama keputusannya.
“Saya mahu berada di sini untuk tahun-tahun akan datang dan mencapai objektif bersama: menang perlumbaan serta kejuaraan dunia,” katanya.
Briatore, yang pernah membawa pasukan itu menjulang gelaran dunia ketika era Benetton dan Renault, menyifatkan Gasly sebagai ‘pemandu utama.’
“Pierre adalah aset besar untuk pasukan dalam tempoh sukar ini. Saya kagum dengan sikap, dedikasi dan bakatnya. Kami mahu membina projek ini bersama untuk jangka panjang,” jelasnya.
Musim ini, Gasly sudah bergandingan dengan dua rakan sepasukan, Jack Doohan dari Australia yang digantikan Franco Colapinto (Argentina) selepas enam perlumbaan, namun kedudukan siapa yang bakal bergandingan dengannya musim depan masih belum diputuskan.
F1 bakal memasuki era enjin baharu pada 2026 dengan peraturan baharu yang lebih ketat, namun Briatore yakin Alpine sudah bersedia.
Alpine akan beralih menggunakan enjin Mercedes bermula musim depan, sama seperti McLaren, Williams dan pasukan utama Mercedes.
© New Straits Times Press (M) Bhd




