sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGM) percaya ujian kawalan doping ke atas pemain golf profesional dunia termasuk dari negara ini sebagai tindakan tepat bagi mengelak mana-mana atlet daripada menyalahgunakan bahan terlarang termasuk suplemen herba yang mudah diperoleh di Asia.
Pengurus Besarnya, Faridil Atras Othman berkata, sekiranya seseorang terbabit secara langsung dalam perkara sedemikian, ia bukan sahaja memberi impak kepada atlet itu sendiri, malah turut menjejaskan imej negara yang diwakilinya.
Namun, beliau melihat penggantungan yang dikenakan ke atas pemain golf profesional negara, Gavin Green tidaklah begitu berat dan pihak persatuan juga belum berhasrat mengambil tindakan lanjut berhubung perkara ini.
“Saya rasa ujian doping ini sesuatu yang bagus kerana ia membuat orang sedar, termasuk pemain lain. Hal berkaitan anti-doping memang serius kerana ia menjejaskan imej diri dan imej negara.
“Jika kita lihat di Sukan Olimpik sebelum ini, ramai atlet dikenakan tindakan, termasuk kemenangan pingat emas yang ditarik balik. Perkara ini besar, bukan kecil. Penggantungan tiga bulan saya rasa berbaloilah kerana ia menjadi peringatan bukan sahaja kepada pemain Malaysia, malah kepada pemain elit dunia yang lain.
“Cuma Green bernasib baik kerana tidak digantung selama-lamanya. Daripada pihak persatuan, kita belum ada sebarang tindakan atau perbincangan lanjut mengenai perkara ini,” katanya kepada Arena Metro.
Beliau juga berharap pemain golf lebih peka terhadap apa sahaja suplemen atau nutrisi yang diambil agar tidak terjerat dengan isu doping.
“Apa sahaja yang diambil oleh atlet, mereka mesti sedar dan bertanggungjawab. Sama ada ubat, suplemen atau minuman sukan, kandungan yang masuk ke dalam badan perlu diketahui sendiri,” katanya.
Terdahulu, Gavin dikenakan penggantungan selama tiga bulan selepas didapati melanggar Polisi Anti-Doping Jelajah Eropah.
Jelajah Eropah dalam satu kenyataan mengesahkan Gavin positif bahan terlarang yang terkandung dalam suplemen herba diambilnya bagi tujuan rawatan kesihatan, dan produk berkenaan dilaporkan mudah diperoleh di Asia.
Bagaimanapun, penggantungan itu berkuat kuasa secara retrospektif bermula 5 Disember 2025, sekali gus membolehkan Gavin kembali beraksi pada 5 Mac 2026.
Untuk makluman, perkara itu bukanlah baharu kerana sebelum ini beberapa atlet profesional turut dikenakan tindakan sama apabila didapati menggunakan bahan terlarang ketika beraksi.
Antaranya Byeong Hun An (2023, digantung tiga bulan), Matt Every (2019, digantung 12 minggu), Robert Garrigus (2019, digantung tiga bulan) dan beberapa nama lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




