Gaya hidup gah, poket kosong

Gaya hidup gah, poket kosong

razis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Budaya kejar ‘kepuasan segera’ dan tekanan gaya hidup menjadi antara penyebab ramai dalam kalangan masyarakat terjerat di dalam belenggu hutang.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, ramai dalam kalangan masyarakat berbelanja melebihi kemampuan untuk memenuhi kehendak semata-mata.

Katanya, ramai masyarakat menggunakan kad kredit dan mengambil pinjaman bagi memenuhi kehendak gaya hidup serta bukan keperluan asas.

“Mereka sanggup berhutang untuk mengadakan majlis kahwin yang gah, bercuti ke luar negara dan membeli gajet kerana tekanan gaya hidup sangat tinggi.

“Terdapat kecenderungan untuk mengikuti norma masyarakat atau rakan sebaya (subjective norm),” katanya.

Beliau berkata, budaya ‘kepuasan segera’ turut menjadi norma dalam masyarakat, terutama generasi muda yang mudah terikut gaya hidup rakan sebaya.

“Naluri manusia untuk mendapatkan sesuatu dengan segera tanpa sanggup menunggu adalah punca utama.

“Platform seperti Beli Dahulu Bayar Kemudian (BNPL) memudahkan individu berbelanja tanpa perlu mengeluarkan wang tunai serta-merta, lantas menjerat mereka dalam kitaran hutang,” katanya.

Dalam pada itu, Nuradli berkata, bukan semua individu yang menggunakan kad kredit untuk memenuhi kehendak sebaliknya terpaksa demi memenuhi keperluan asas keluarga mereka kerana pendapatan bulanan tidak mencukupi.

“Situasi ini menonjolkan tekanan kewangan yang dihadapi oleh sesetengah isi rumah apabila penggunaan kad kredit menjadi jalan terakhir untuk menampung perbelanjaan harian,” katanya.

Ditanya berkenaan literasi kewangan masyarakat, beliau melihat ia semakin baik, namun masih ramai gagal mengamalkan ilmu yang dimiliki.

“Ramai yang mengetahui hutang itu membebankan dan perlu elakkan belanja melebihi pendapatan, namun tidak mengamalkannya. Ilmu kewangan mesti disertai dengan perubahan tingkah laku,” katanya.

Mengulas kesan jangka panjang, beliau melihat situasi ini mampu memberi impak negatif kepada ekonomi individu dan negara jika tidak dikawal.

“Hutang produktif boleh bantu ekonomi, tapi hutang penggunaan akan melemahkan. Apabila ramai tidak mampu bayar, bank pun terkesan dan akhirnya memberi tekanan kepada sistem kewangan negara,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan kewangan yang bijak adalah kunci untuk mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam belenggu hutang.

“Tanpa strategi yang jelas, anda mungkin mendapati diri terbeban dengan tanggungan hutang yang sukar dilangsaikan.

“Penting untuk merangka pelan kewangan yang teliti termasuk menyediakan bajet bulanan, memantau perbelanjaan dengan ketat dan mengutamakan simpanan sebelum berbelanja,” katanya.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying sebelum ini dilaporkan berkata, hutang isi rumah negara berjumlah RM1.65 trilion atau bersamaan dengan 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat akhir Mac 2025.

Bagaimanapun, nilai aset kewangan isi rumah adalah melebihi jumlah hutang yang menandakan kedudukan kewangan rakyat secara keseluruhannya masih kukuh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top