Davos: Presiden Perancis Emmanuel Macron mencuri perhatian ramai apabila tampil berkaca mata hitam di Forum Ekonomi Dunia, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Banyak akhbar memaparkan gambar Macron memakai cermin mata hitam aviator – yang dipakainya akibat jangkitan mata – di muka depan.
Pengilang cermin mata hitam mewah Perancis yang kecil itu dibanjiri dengan pertanyaan, dan kedai dalam talian jenama Henry Jullien ditutup sementara kerana peningkatan permintaan.
“Rakan dan pelanggan kami mula bertanya kepada kami sama ada ini cermin mata kami, yang membuatkan kami sangat bangga,” kata Stefano Fulchir, ketua iVision Tech, syarikat induk Itali bagi jenama cermin mata hitam itu, kepada penyiar RTL.
Beratus-ratus e-mel dan pertanyaan diterima, katanya.
“Secara purata, kami menghasilkan 100 model Pacific ini setiap tahun, tetapi memandangkan jumlah perhatian yang diterima, kami mungkin perlu menghasilkan 1,000 tahun ini,” kata Fulchir.
Di Instagram, jenama Henry Jullien sudah mengiklankan model itu, yang berharga 659 Euro (kira-kira RM3,128), dengan gambar menunjukkan Macron memakai cermin mata di Davos.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump merujuk kepada “cermin mata hitam yang cantik” dalam ucapannya di Davos, merujuk kepada penampilan Macron.
Sesetengah orang di Perancis bergurau bahawa Macron mahu kelihatan seperti pelakon AS Tom Cruise, yang memakai cermin mata yang serupa dalam filem Top Gun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




