Selepas kejayaan filem pertama tahun lalu, kisah pengasas Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman diteruskan menerusi filem Gayong 2 yang tampil dengan naratif lebih matang serta konflik yang lebih mencabar.
Terbitan SOL Pictures Sdn. Bhd, filem ini bukan sekadar mengangkat perjalanan seorang guru silat, sebaliknya menyelami sisi lain kehidupan Meor Abdul Rahman sebagai pegawai CID (Jabatan Siasatan Jenayah) di bawah pentadbiran British selepas Perang Dunia Kedua di Singapura.
Menurut Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip, karya ini masih berpaksikan kisah sebenar tokoh tersebut, namun disampaikan dalam pendekatan dramatik dan sinematik.
“Filem ini masih berpaksikan kepada kehidupan sebenar Dato’ Meor Abdul Rahman khususnya nilai, prinsip dan pilihan hidup beliau.
“Namun begitu, ia dipersembahkan dalam pendekatan dramatik dan sinematik. Ia bukan dokumentari, tetapi sebuah karya yang mengangkat konflik kuasa dan tekanan emosi yang wujud dalam dunia sebenar ketika itu,” katanya.

Filem arahan Faisal Ishak itu mengekalkan Beto Kusyairy sebagai watak utama, selain turut dibintangi Nabila Huda dan Syafie Naswip. Turut memeriahkan naskhah ini ialah barisan pelakon lain seperti Fauzie Laily, Bobby Tonelli, Rabbit Chen, Hanna Aqeela dan Ayez Shaukat.
Menariknya, filem ini turut menampilkan kemunculan sulung Miss Malaysia 2024, Sandra Lim dalam sebuah filem epik Melayu.
Mengulas lanjut, Khairul berkata, Gayong 2 lahir daripada keinginan untuk mengetengahkan fasa kehidupan Meor Abdul Rahman yang lebih kompleks, khususnya ketika beliau memilih untuk menentang kejahatan dari dalam sistem itu sendiri.
Sementara itu, Faisal menjelaskan, Gayong 2 bukan sekadar kesinambungan cerita, tetapi juga membawa nilai warisan dan tanggungjawab.
“Jika filem pertama memperkenalkan dunia persilatan, kali ini kita menyelami harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan prinsip dan maruah. Ia bukan sekadar aksi, tetapi tentang identiti,” jelasnya.

Penggambaran filem ini dijalankan sepenuhnya di Ipoh, Perak dari November hingga Disember 2024.
Mengulas lanjut, Faisal turut berharap filem ini mampu menyentuh emosi penonton, selain membangkitkan rasa bangga terhadap warisan budaya tempatan.
“Jika penonton pulang dengan rasa bangga, terhibur dan mula berfikir tentang keluarga serta pilihan hidup, maka filem ini telah mencapai tujuannya,” ujarnya.
Gayong 2 dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 9 April 2026.



