Gedik Raya dikecam, Ifa Raziah jawab -“Bukan lagu tapi orang tak suka saya secara peribadi”

Gedik Raya dikecam, Ifa Raziah jawab -“Bukan lagu tapi orang tak suka saya secara peribadi”

Penyanyi Ifa Raziah tampil menjawab pelbagai kritikan netizen terhadap lagu baharunya sempena Aidilfitri, Gedik Raya, yang dilancarkan pada 27 Februari lalu selepas lima tahun berehat daripada industri muzik.

Bagi Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, 50, kecaman yang diterima bukan kerana lagu atau muzik videonya, sebaliknya wujud pihak yang tidak menyukainya secara peribadi.

“Bukan sebab mereka tak suka lagu atau muzik video itu, tetapi kerana mereka tidak suka saya secara peribadi,” katanya.

Ifa Raziah jawab

Menurut penyanyi itu, ramai berpendapat lagu berkenaan lebih sesuai dibawa oleh generasi baharu kerana konsepnya moden dan berbeza daripada gaya tradisional.

“Mula-mula orang rasa pelik sebab nama Ifa Raziah yang bawa lagu ini. Kalau diberi kepada artis baharu mungkin tiada masalah. Mereka boleh buat apa sahaja gaya tarian, melompat atau beraksi pun orang terima.
“Tetapi sebab saya artis generasi lama, apa sahaja yang saya buat nampak salah kerana mereka anggap saya sudah berusia,” jelasnya.

Artikel lain: Ifa Raziah kalis kecaman! Dedah sekadar ‘gelek’ beri hiburan pada netizen

Ifa turut menepis salah faham netizen yang mendakwa muzik video menggunakan kecerdasan buatan (AI). Tegasnya, video itu menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) dengan bantuan green screen bagi menggambarkan konsep beraya di kayangan.

“Konsep Gedik Raya ini beraya di kayangan, bukan di bumi. Sebab itu visualnya penuh elemen fantasi. Untuk menggambarkan konsep itu, kita gunakan teknologi terkini,” tambahnya.

Penyanyi berusia 50 tahun itu berkata, dia sengaja memilih konsep beraya di kayangan kerana kebanyakan muzik video lagu raya sering menampilkan suasana pulang ke kampung. Baginya, pendekatan baharu ini memberi kelainan dan memeriahkan lagi industri muzik tempatan.

“Kalau orang nak kecam atau mengata terpulang. Yang penting lagu itu viral dan sampai kepada pendengar,” ujarnya.

Sumber: mStar Online (Maszuhaira Sarimin)

Scroll to Top