Gegaran di Ipoh tiada kaitan letupan kuari – JMG

Gegaran di Ipoh tiada kaitan letupan kuari – JMG

am@hmetro.com.my

Ipoh: Bunyi dentuman dan gegaran yang dirasai di sekitar daerah ini, kira-kira jam 10.30 pagi tadi, tidak kaitan dengan kerja letupan disebabkan oleh aktiviti pengkuarian.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Nizarulikram Abdul Rahim berkata, semakan pihaknya mendapati tiada aktiviti letupan kuari berlaku pada tempoh waktu itu.

“Mengikut peraturan yang ditetapkan JMG, aktiviti letupan di kuari hanya dibenarkan bermula jam 12 tengah hari sehingga 5 petang Isnin hingga Jumaat sahaja.

“Tidak dibenarkan aktiviti letupan di kuari dilaksanakan di luar daripada waktu dan hari itu. Itu sahaja maklum balas setakat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dilaporkan berkata, dakwaan orang ramai yang mendengar bunyi itu juga disiasat polis.

Media sosial hari ini mula dibanjiri dengan hantaran dan komen yang mendakwa mendengar bunyi serta merasai gegaran di kawasan mereka termasuk sekitar Klebang, Bercham dan Meru Raya kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Pada 21 Oktober tahun lalu, satu dentuman berserta gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan juga di sekitar Ipoh hingga menjangkau daerah kecil Sungai Siput.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top