'Gegaran' di Sepang

'Gegaran' di Sepang

georgie@hmetro.com.my

PEMINAT muzik elektronik atau EDM tanah air bakal menyaksikan persembahan bertaraf antarabangsa apabila tiga jenama gergasi, HardTech (Hardmission dan Techmission) dan Transmission akan menggegarkan Malaysia pada 18 dan 19 Oktober ini.

Ia bukan sekadar festival muzik biasa, sebaliknya membawa pengalaman dari Eropah terus ke Malaysia.

Berasal dari Prague, auranya akan dirasai di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.

Dianjurkan HiFive Entertainment, ia diadakan bersempena pra-parti Petronas Grand Prix of Malaysia 2025.

Gabungan sukan permotoran berprestij dan muzik elektronik itu bakal mencipta hujung minggu yang tidak akan dilupakan.

Pengarah Urusan HiFive Entertainment, Sean Pereira berkata, misi besar penganjuran berkenaan bukan sekadar hiburan semata-mata. Ia juga demi menghormati peminat muzik trance tempatan.

“Daripada membiarkan peminat tempatan berbelanja besar untuk ke luar negara bagi merasai pengalaman ini, adalah lebih baik untuk membawa festival itu sendiri ke Malaysia.

“Idea utama kami supaya peminat di Malaysia tidak perlu lagi ke luar negara. Kita boleh menikmati pengalaman ini di tanah air kita sendiri,” katanya.

Bekerjasama dengan MotoGP juga satu langkah strategik. Ia bukan saja menggabungkan dua komuniti peminat yang besar, tetapi juga meletakkan festival ini di atas satu platform mega yang bertaraf dunia.

Selain membawa masuk nama-nama artis besar antarabangsa, misinya juga untuk mengangkat bakat tempatan ke persada global. Penganjur komited menyediakan platform bagi DJ tempatan beraksi di hadapan puluhan ribu penonton.

“Sama seperti MotoGP menggalakkan bakat muda dari Malaysia untuk tampil ke hadapan, kami berikan peluang kepada DJ muda untuk beraksi di festival bertaraf antarabangsa,” katanya.

Sean percaya peluang berharga itu membolehkan artis tempatan mendapat pendedahan dan menimba pengalaman beraksi di acara yang diiktiraf di Eropah, sekali gus membuka lebih banyak pintu pada masa hadapan.

Dengan sasaran kehadiran 12,000 hingga 15,000 pengunjung selama dua hari, aspek keselamatan dan pematuhan garis panduan menjadi keutamaan tertinggi.

Acara itu mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan akan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

“Perkara utama yang digariskan adalah stesen air untuk memastikan pengunjung kekal terhidrasi. Kemudian aspek keselamatan, di mana kami bekerjasama dengan pihak polis, termasuk unit penguatkuasaan dadah dan anjing pengesan (K-9),” katanya.

Langkah lain termasuk menyediakan pasukan peronda, akses mudah kepada makanan dan minuman, laluan keluar kecemasan, serta hospital bergerak untuk sebarang rawatan kecemasan.

Menariknya, SOP baharu itu turut menekankan aspek sensitiviti tempatan. Pihak penganjur memastikan penyediaan bilik solat selesa untuk kemudahan pengunjung Muslim menunaikan kewajipan mereka.

Dalam pada itu, ia juga dilihat sebagai pemangkin industri pelancongan negara. Penganjur bekerjasama dengan beberapa rakan hotel rasmi untuk menyediakan pakej menarik kepada pengunjung dari luar negara.

“Kami mahu galakkan pelancongan. Kami mahu peminat dari luar datang ke sini. MotoGP tahun lalu mewujudkan ribuan pekerjaan.

“Semua itu terlaksana dan dengan bawa masuk pelancong asing, kita secara tidak langsung bantu ekonomi tempatan,” katanya.

Pengunjung bakal dihiburkan persembahan DJ bertaraf dunia yang merangkumi genre HardTech dan Trance, visual dan pencahayaan yang mengasyikkan serta pengalaman deria yang pastinya memukau.

Barisan artis antarabangsa hadir termasuk Markus Schulz, Aly & Fila, Ben Nicky, Sub Zero Project, Warface, Tweekacore, MANDY, Trym, Daxson, Driftmoon dan Space 02, yang pastinya memberi pengalaman audio visual luar biasa.

Tidak ketinggalan, bakat besar Malaysia dan serantau iaitu Chukies & Whackboi, Bass Agent, Boris Fong, Mister Ariffin, Nahksy, Alexis Grace, Sep B2B Suhsi, Digital Rush B2B Gio dan Digital Culture.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top