
Gegaran lebih 900 kali di Kepulauan Tokara, penduduk akui sukar tidur. Gambar hiasan.
TOKYO – Lebih 900 gegaran direkodkan dalam tempoh dua minggu lalu di Kepulauan Tokara di selatan Jepun, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk.
Majoriti penduduk mengakui semakin letih dan trauma akibat gangguan tidur yang berterusan.
Pengarah Bahagian Pemerhatian Gempa Bumi dan Tsunami Agensi Meteorologi Jepun (JMA), Ayataka Ebita berkata, tiada sebarang kemusnahan direkodkan.
Bagaimanapun, menurut beliau, aktiviti seismik di kawasan laut sekitar pulau itu menjadi luar biasa aktif sejak 21 Jun lalu dengan gegaran terkini berukuran 5.5 magnitud dicatatkan kira-kira jam 3.30 petang (2.30 petang waktu Malaysia) pada Rabu.
“Pihak kami mengesahkan jumlah gegaran mencecah lebih 900 setakat jam 4 petang.
“Kami masih belum dapat menjangkakan bila gegaran ini akan berhenti.
“Walaupun tiada kerosakan besar dilaporkan setakat ini, kebimbangan penduduk semakin memuncak apabila gegaran berlaku hampir setiap hari,” katanya.
Salah seorang penduduk kampung berkenaan memberitahu, dia sekeluarga berhasrat untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat sekiranya gegaran masih kerap terjadi.
Tokara yang terdiri daripada 12 pulau kecil itu pernah merekodkan sebanyak 346 gempa bumi setakat 16 September 2023.
Difahamkan, tujuh dari 12 pulau kecil tersebut didiami kira-kira 700 penduduk.
Jepun terletak di atas pertembungan empat plat tektonik utama di Lingkaran Api Pasifik, menjadikannya antara negara paling aktif mengalami gempa bumi di dunia.
Negara itu berdepan lebih 1,500 gegaran setiap tahun dan menyumbang hampir 18 peratus daripada keseluruhan gempa bumi global.
Kebanyakan gegaran berskala kecil sahaja, namun kesannya bergantung kepada lokasi dan kedalaman.
Malangnya, Jepun juga masih belum pulih sepenuhnya daripada trauma gempa bumi melanda Semenanjung Noto pada awal 2024 yang mengorbankan hampir 600 nyawa. – AGENSI