Gelandangan di pusat transit dihidang nasi kandar

KUALA LUMPUR – Hameedyiyah Bistro Ampang yang terkenal dengan nasi kandar hari ini meraikan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.

Pengurus Hameediyah Ampang, Abdul Sukkoor Syed Ibrahim berkata, pihaknya sentiasa berusaha membantu golongan kurang berkemampuan khususnya ketika pandemik Covid-19.

“Hari ini kami ambil kesempatan memberi nasi kandar kepada gelandangan nak bagi rasa nasi kandar asli kepada orang yang tidak mampu, alhamdulillah.

“Buat sementara kita juga ada buat sumbangan-sumbangan kepada anak-anak yatim, sekolah tahfiz dan untuk orang yang susah.

“Pandemik ini banyak orang tidak mampu, kita faham sebab itu kita berterusan membantu,” katanya sambila menambah kira-kira 180 bungkus nasi kandar diagihkan kepada gelandangan pada hari ini.

Pengurus Hameediyah Ampang Abdul Sukkoor Syed Ibrahim menyusun bungkusan makanan untuk diagihkan kepada gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 OKTOBER 2021.

Sementara itu, Pegawai Operasi Pusat Transit Gelandang KL, Syed Anas Syed Ali berterima kasih kepada pelbagai pihak, tidak kira sama ada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu yang sudi menyumbangkan makanan untuk golongan itu.

Ujarnya, pandemik tidak menghalang pelbagai pihak untuk terus berkongsi rezeki dengan golongan gelendangan.

“Ekonomi baru nak pulih lepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tapi kita tetap lihat banyak NGO dan individu datang menyumbang pusat transit.

“Mereka sentiasa menerima sumbangan makanan di sini walaupun tidak terlalu bergantung tetapi sentiasa ada juga sumbangan

“Ini akan menggembirakan gelendangan di sini tidak rasa terpinggir,” tambah beliau.

Menurut Syed Anas, sumbangan orang ramai khususnya makanan kepada gelandangan di pusat transit itu sudah tentu akan membantu menjimatkan kos operasi saban hari. – MalaysiaGazette